17.11.13

Momentum - Perjalanan

Salam Mukhtamar..

Sempena cuti 1 Muharam yang sudah, saya membawa diri dan beberapa teman ke Hulu Langat dan kemudiannya ke Bukit Ampang - sambil bersama merefleksi, merenung dan mengimbas kembali perjalanan setahun lalu akan cita-cita dan angan-angan yang senantiasa dipasak saban tahun. 

Sambil terbang jauh, saya cuba menghayati kata ini dalam-dalam,


"Jangan pernah melawan sunnatullah pada alam, sebab ia pasti mengalahkanmu. Tetapi gunakanlah sebahagiannya untuk menundukkan sebahagian yang lain, nescaya kamu akan sampai tujuan."


al-Banna

Sempat juga singgah ke puncak Sg Lui - mengimbas detik 'Badar al-Kubra' tahun-tahun yang berlalu, maka tidak salah di sinilah titik-tolak kepada diri yang benar-benar mahu mengartikan dirinya semata-mata kepada Tuhannya.

Tersedu-sedu. 

Saya gagal wahai Tuhan.

**********

Semalam ketika di Ijtima' Darussyifa Peringkat Kebangsaan, menghimpunkan seluruh pelajar dan perawat dari pelusuk negara, saya duduk bersama beberapa pelajar senior yang lebih berusia dari saya hampir puluhan tahun bezanya. 

Saya meneliti, majoriti daripada mereka dalam lingkungan 60-70-an, masih kukuh dan gagah menghidupkan diri dengan zikir dan doa, menyingkirkan jauh-jauh akan rasa letih, lenguh dan keperitan di lingkungan keramaian. Mereka ini mungkin dari benarnya kata-kata Ibnu Rejab,

"Barangsiapa yang memelihara ketaatan kepada Allah di masa muda dan masa kuatnya, maka Allah akan memelihara kekuatannya di saat tua dan saat kekuatannya melemah. Ia tetap akan diberi kekuatan pendengaran, penglihatan, kemampuan berfikir dan kekuatan kekal."

"Bekalan di dunia adalah gambaran kehidupan kita di akhirat" - Dr Zulkifli M Al-Bakri

Apabila kalam Tuan Guru Dato' Dr Haron Din hampir tersekat-sekat akibat sebak ketika di penghujung ucapan penutupan, terasa sayu. Tambah apabila betapa ketika Tuan Guru mengucapkan,'saya mahu bersama-sama anda semua bukan sahaja di sini, malah mahu juga bersama-sama anda di syurga', - hadirin semuanya meleraikan air mata yang lama tertahan.

Semoga Allah menerima doamu, Tuan Guru. 

**********

Bila mengenangkan soal Tuan Guru sebagai murobbi, saya percaya sesuatu - bahawa di dalam tiap-tiap diri seseorang yang terinspirasi, wujud seseorang yang lain - menjadi lilin membara memastikan momentum terarah, semangat yang konsisten dan kekuatan ikhlas - tidak lain berdaya-upaya mencari Allah.

Ketika di asrama dulu, saya dikurniakan Allah seorang abang angkat, bertindak juga sebagai naqib - hingga kan tiap-tiap kali selepas solat waktu, memastikan saya tidak berlalu ke dewan makan, seterusnya menghafaz surah-surah terpilih dari al-Quran, pernah berjaga hingga ke pagi menjaga, berlalu hanya setelah saya terlelap akibat keperitan demam, dan hampir tiap-tiap malam bercerita kepada saya akan peringatan-peringatan, mengisi kekosongan ketika hilangnya mak ayah di asrama. 

Benar, saya yakin iltizam momentum kehidupan saya di asrama adalah lantaran dari jejak-jejak yang ditinggalkan beliau kepada saya.

Ketika di matrikulasi, walau pedih bergelut dengan rantaian senior menimpa di pertengahan, hadir kelibat seseorang menjernihkan supaya momentum, pergerakan terus tidak ketinggalan berbanding matrikulasi lain. Syukur juga setelah hampir 2 tahun tidak bertemu, di Bangsar South City itulah, kami berpelukan dan tidak menyangka dia tahu saya masih di pertengahan sarjana sains, menggamit memori lama kami yang dahulunya saya sebagai pelajar matrikulasi dan beliau sebagai pengarah JPM. Terima kasih ustaz menguatkan kami ketika susah dahulu.

Kampus menjadi model kehidupan paling menjejak sebelum kehidupan sebenar di luar. Saya yakin ramai figura hebat di sini lahir dari susuk hebat senior yang membina tanggungjawab kader dengan sesungguh-sungguhnya. Terbukti jika ditanya kenalan-kenalan yang ada, pasti mereka percaya kelahiran potensi mereka adalah di belakang individu yang lain. 

Tetapi dan hampir pasti, mereka bukanlah dari usrah yang disistemkan, tetapi dari usrah sukarela yang diwujudkan tanpa laporan, silibus berpandukan pengalaman dan realiti, hadir dari hati-hati yang bertemu ikhlas hanya kerana mereka saling menginginkan. Semata-mata dari itu. Semoga kita bukan sahaja 'dipotensikan', malah kita berupaya untuk 'mempotensikan.' 

Mari bersama membina momentum bersama watak-watak yang perlu diseleksi dalam perjalanan yang masih jauh - perjalanan mencari Tuhan.

Wallahua'alam..

3 ingatan dari teman:

Fitrianto said...

Akhi Fariq, jangan katakan "gagal", tetapi katakanlah "belum berjaya/berhasil", insyaAllah lebih menguatkan..
Membaca tulisan nta, seakan -akan ana terbawa masuk di dalamnya, mengingatkan ana semasa di kampus dahulu..
Syukran akhi.
Tetap semangat dan tetap istiqomah :)

fariQfitri said...

Akhi Fitriyanto,

Syukran akhi,

Di depan Allah, kita terasa kita tidak mengenal diri kita lebih dari Allah mengenal kita.

Mudah-mudahan Allah masih bersama.

Fakta Unik said...

artikel yang sangat menarik.. saya suka...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...