7.2.14

Cukup dan Memadai

Salam Palestina..

"Jangan puas terhadap sesuatu hanya kerana tak mampu, kerana takut-takut jika mampu, tidak akan puas-puas. Maka seelok dan sebolehnya, kita puas sebab dah mampu", pesan Ust Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri seusai solat bersamanya. Saya menerima nasihat tersebut dengan mata berkaca-kaca, kerana seolah-olah Allah sedang memperingatkan saya kepada sesuatu yang sering saya khuatiri.

Ya, tentu benar. Bukankah segala di langit dan di bumi itu kepunyaan Allah?

Kita adalah Hamba

Jika kita memikirkan bahawa kita adalah seorang hamba, maka pastinya kita juga punya Tuhan- untuk mengadu, meminta dan menaruh sepenuh pengharapan padaNya. Namun, adakala Tuhan sengaja mencuba dan menguji, semata-mata menginginkan untuk kita hamba bertambah mengenali-Nya.

Bagaimana?

Jika kita tidak pernah merasai peritnya kesakitan, adakah kita akan mengenali Allah sebagai Maha Menyembuh? Jika kita tidak pernah melakukan kesilapan, adakah kita akan mengenali Allah sebagai Maha Pengampun? Dan jika kita tidak pernah merasai masalah, mungkinkah kita mengenali Allah sebagai Maha Mengetahui?

Risau-risau, jika kita diberi semua semampunya, kita tidak akan mengenali erti bersyukur, tidak mengerti apa itu cukup bahkan lebih daripada itu, kita lupa bahawasanya kita adalah sekadar hamba!

Dan hamba itu tidak punya apa-apa, melainkan Tuhan itu mengurniakan padanya rahmat dan kasih sayang.

Merasa Cukup dan Memadai

Rezeki, takdir dan segala yang tersingkap di dalam rahsia dan pengetahuan Allah sudah tertulis pada tiap-tiap makhluk yang diciptakan. Maka, merasa cukup bahawa segala yang tertulis dan apa yang ada pada kita hari ini - tidak akan diambil oleh yang lain, juga kesemua rezeki yang dimiliki orang lain tidak juga mampu diambil oleh kita.

Harus diingat, jika Allah hendak memberikan kebahagiaan kepada seseorang, ianya tidak boleh ditahan oleh apa-apa tangan sekalipun. Dan jika Allah menghalang kebahagiaan kepada seseorang, ianya juga tidak boleh dihulur oleh apa-apa tangan sekalipun.

Maka, bersyukurlah dengan apa kira adanya pada kita hari ini, saat ini dan terkemudian, kerna tidaklah terlebih dan terkurang, melainkan di situ hadirnya berkat dan redha dari Tuhan. Semata-mata dari Tuhan.


Sedekah dan Pengertian Pada Hidup

Suatu ketika, saya menyelak kembali lembaran-lembaran nota pengajian bersama TG Dr Haron Din, sesudah mendengar perkhabaran akan keuzuran beliau di institut jantung negara.

Antara yang menggamit memori ketika itu ialah, pesanan beliau di akhir kuliah berbunyi, "Jika mana kita ingin keluar daripada suatu masalah atau perkara yang sulit untuk diselesaikan atas kemampuan kita, maka carilah seseorang yang benar-benar memerlukan bantuan, lalu penuhilah permintaannya, atau sampaikan sedekah padanya. Namun harus diingat, mestilah dari kalangan orang yang benar-benar memerlukan".

Pesan ini juga menjadi pesanan terakhir saya kepada teman-teman yang membaca. Semoga kita sedar bahawa bukanlah kita sahaja - berdiri kerseorangan - untuk mampu keluar daripada kemelut, detik-detik hidup, atau permasalahan yang mengkusutkan - melainkan di situ adanya Allah yang Maha Mengetahui untuk memudahkan, menyelesaikan, mencukupkan serta mengeluarkan kita daripada perkara tersebut. Malah sehingga satu saat kita sudah lupa tentang doa yang kita selalu baca agar segera keluar daripada masalah tersebut.

Dunia boleh berbuat apa-apa, tetapi mereka tidak mampu mencabar kekuasaan Allah, maka berimanlah.

Wallahua'alam..

2 ingatan dari teman:

Fitrianto said...

Semoga kita termasuk hamba-Nya yang memiliki sifat Qona'ah, yang selalu merasa cukup dan redha atas segala yang Allah berikan kepada kita... :)

fariQfitri said...

Allahumma Amin..Mudah-mudahan. Bersyukur apa adanya kan akhi. :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...