30.6.10

"Mahasiswa dan Peranan Mengislah Masyarakat "

Salam Palestina..

Pendidikan selalunya dikaitkan dengan kasih sayang. Dalam satu hadis, Rasulullah SAW bersabda, ‛Man la yarham, la yurham’ yang bermaksud ‘Barang siapa yang tidak menyayangi, dia tidak akan disayangi’ (HR Muslim). Menyayangi tidak dapat dipisahkan daripada perbuatan baik bagi menzahirkan rasa kasih sayang, hormat dan berjasa dalam menawarkan sesuatu yang memberi faedah. Daripada kasih sayanglah terbitnya keinginan untuk berbakti. Manakala berbakti semestinya diasaskan pada hati yang bersih, suci dan ikhlas kerana Allah SWT dan untuk mencapai keredhaan Allah SWT. ‘Kamu tidak akan memperoleh kebajikan, sebelum kamu menginfakkan sebahagian harta yang kamu cintai’ (Ali Imran 3: ayat 92).


Berbakti diberikan sehingga ke peringkat kita rasa bahagia apabila berbakti. Rasa bahagia dengan memberi khidmat untuk melihat orang lain bahagia. Bahagia bukan sahaja nampak pada ekspresi wajah dan tubuh tetapi pada penghayatan di hati. Orang yang bahagia adalah orang yang dapat menikmati dan merasai kemanisan hidup, tidak suka mengeluh dan selalu berusaha meraih kegembiraan. Dalam realiti masyarakat hari ini, rasa bahagia muncul apabila orang memberi khidmat kepada kita. Ada orang memberi wang ringgit, kita rasa bahagia dan gembira. Ada orang memberi bantuan tenaga, kita rasa bahagia dan ceria. Namun rasa bahagia seperti ini tidak sempurna kerana sebaik-baiknya ialah kita menjadi golongan yang bahagia dalam memberi.


Justifikasi

Mengapa dituntut kita melaksanakan proses mendidik dan berbakti bersama-sama? Seperti yang dinyatakan sebelum ini, mendidik dan berbakti telah kita sepakati sangat penting kepada ISIUKM sebagai sebuah organisasi yang ingin hidup dan berinteraksi bersama masyarakat. Kita tidak dapat meminggirkan diri apabila melihat masyarakat khususnya umat Islam yang masih banyak ketinggalan dalam banyak perkara. Kerosakan sedang melanda umat islam dari pelbagai sudut kehidupan – aqidah, sosial, ekonomi, politik, pendidikan dan sebagainya. Sememangnya tugas dan tanggung jawab berbuat baik atau mengislah suatu yang tidak mudah. Ianya bukan kerja ‘Sendirian Berhad’ tapi kerja ‘korporat’ yang menuntut kesepaduan dalam berfikir, menilai dan bertindak. Meskipun kerjanya berat, namun, di sana Allah SWT menjanjikan ganjaran pahala yang besar.


‘Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan.’
(Surah Al-Qasas ayat 77)


Memerhati dengan lebih dekat sistem pendidikan yang ada pada hari ini, kita lihat sistem pendidikan sedia ada terlalu memberi tumpuan kepada peperiksaan dan memenuhi pasaran kerja semata-mata. Akibatnya sistem pendidikan tidak mampu melahirkan insan yang terdidik, boleh mendidik dan berbakti kepada masyarakat. Sama ada di dalam atau pun luar negara, sistem pendidikan sedia ada tidak berupaya melahirkan individu terpelajar yang mempunyai jiwa luhur yang ingin berbudi dan berbakti. Harvard University sendiri dalam konteks ini pernah digelar secara sinis sebagai ‘Harvard produces the brain without soul’.


Umat Islam di Malaysia ketika ini juga sedang berhadapan dengan krisis nilai kesan daripada pengaruh globalisasi dan modenisasi. Kita wajar melihat realiti masyarakat hari ini dengan lebih simpati. Fikiran dan jiwa mereka sedang sakit Nilai-nilai yang menjadi teras kepada semangat kental dan daya juang kini diganti dengan budaya hedonisme dan mudah putus asa. Musuh-musuh Islam mencaturkan cara bergaul generasi muda kita, cara pakai mereka juga menjadi ikutan dengan fesyen mendedah aurat dianggap moden dan glamer. Belum ada nilai-nilai konstruktif yang menjadi teras dalam masyarakat Islam menyebabkan setiap hari kita terpaksa memejamkan mata dan memekakkan telinga apabila melihat bayi yang baru lahir dijumpai dalam tong sampah, mangsa ragut menjadi trauma dan anak-anak remaja kita merempit siang dan malam.


Malah, kajian oleh Universal McCann Malaysia yang bertajuk ‘Nilai-nilai moral kian terhakis?’ menyatakan pencapaian dunia seperti pembangunan fizikal dan ekonomi yang rancak dicacati oleh senario gaya hidup moden yang membelakangkan kemurniaan akhlak dan keluhuran budi. Demi mengecap kejayaan, ada yang sanggup berbuat apa sahaja termasuklah mengenepikan nilai-nilai moral yang sepatutnya menjadi pegangan hidup setiap individu. Oleh sebab itu, keadaan sosial di dalam masyarakat menjadi penyebab mengapa kita perlu menjadikan mendidik dan berbakti sebagai fokus.


Halatuju

Ke mana kita hendak bawa masyarakat dalam proses mendidik dan berbakti ini? Asasnya ialah ke arah memakmurkan dunia dan ke arah mencapai kesejahteraan hidup akhirat. Ia bererti kita ada arah tuju. Kita hendak memakmurkan negara dengan memberi khidmat kepada masyarakat hingga kita dapat kesejahteraan di dunia dan di akhirat. Sejahtera diri dan keluarga kita, sejahtera masyarakat dan negara kita. Kepada ahli-ahli ISIUKM, kita selalu membaca surah Al-Fatihah yang menyeru kepada jalan yang lurus: ‘tunjukilah kami jalan yang lurus’. Ini cukup memberi isyarat kepada kita supaya setiap usaha mendidik dan berbakti menjurus kepada memakmurkan dunia dan membawa kesejahteraan akhirat.

 

Semasa Rasulullah SAW diutuskan dalam kalangan masyarakat Makkah, jahiliyah berleluasa. Manusia bertuhankan berhala dan jauh daripada mengenal Allah SWT. Masyarakat tidak kenal yang hak dan bathil sehingga menyebabkan mereka tidak dapat membezakan yang mana satu permata dan yang mana satu kaca. Rasulullah SAW membawa dakwah bersama-sama peribadi yang dimantapkan dengan empat sifat iaitu sidq, amanah, tabligh dan fathonah. Persediaan ini juga menjadi prasyarat yang sangat mustahak kepada ahli ISIUKM jika ingin mengubah masyarakat. Sifat-sifat ini boleh dibentuk tetapi perlu melalui proses pentarbiyahan yang betul dan mantap. Sifat-sifat ini adalah sifat nabi yang perlu dikuasai. Ia juga melambangkan penguasaan diri melalui tahap kepimpinan yang terpuji.


Dalam setiap perancangan ke arah mencapai matlamat, kita perlukan persiapan yang lengkap. Apakah persiapan yang kita perlu lakukan? Pertama, menyiapkan diri dan organisasi kita dengan ilmu syara’ dan waqi’. Kedua-dua elemen ilmu ini akan membentuk keseimbangan sehingga melahirkan peribadi-peribadi yang dikehendaki oleh Allah SWT, syakhsiah yang akrab dan rapat dengan Allah SWT dan digelar insan rabbbani dari segi tauhid, fikrah dan sahsiah.


Kedua, kemahiran insaniah (soft skils) seperti komunikasi, kerja berkumpulan dan perhubungan awam. Kemahiran insianiah ini merupakan proses melahirkan ahli-hali ISIUKM yang berpengetahuan, inovatif, memiliki jati diri, beretika, terlatih dan berjaya dalam setiap gerak kerja. Ilmu dan kemahiran bergerak seiring dengan persiapan ketiga iaitu akhlak. Asas akhlak ialah iman, Islam, taqwa dan ihsan. Kesemuanya mesti dilaksanakan dalam bentuk praktikal supaya terbentuk nanti individu yang menjadi contoh kepada masyarakat. Rasulullah SAW adalah contoh akhlak terbaik untuk diikuti seperti sabdanya yang bermaksud, ‘Sesungguhnya aku diutuskan hanyalah untuk menyempurnakan akhlak yang mulia’ (HR Malik, Ahmad, Hakim, At-Tabarani dan Bukhari).


Sheikh Mustafa Masyhur berkata: ‘perbaiki dirimu dan serulah orang lain kepada dakwah’. Perbaiki diri termasuk berusaha menguasai diri dengan ilmu dan kemahiran dan seterusnya menghiasi diri dengan akhlak mulia. Dalam realiti hari ini, akhlak sudah tidak memberi makna yang signifikan dalam kepimpinan. Pemimpin yang terlibat dengan masalah moral, rasuah dan penyalahgunaan kuasa masih diberi tempat dalam pentadbiran negara menyebabkan saf kepimpinan itu sendiri tidak lagi dihormati.,


Rebut sepenuhnya ruang-ruang yang dibenarkan oleh realiti bagi menterjemahkan hakikat Ad-Din, agar masyarakat boleh faham Ad-Din melalui Al-Hal (realiti @ kehidupan). Manakala dalam melaksanakan kerja-kerja ma’ruf yang dibenarkan dalam ruang realiti yang ada, kita perlu sentiasa beringat agar ma’ruf yang besar itu tidak diabaikan. Dan dalam menjelaskan al-ma’ruf al-akbar ini fahami dan kuasai sungguh realiti dengan menggunakan kaedah-kaedah yang dibenarkan oleh Islam.

Wallahua'alam~


~Lajnah Kegiatan Luar ISIUKM 10/11

1 ingatan dari teman:

Anonymous said...

mahasiswa mmg harus kembali ke tempat asalnya, iaitu masyrakat,ttapi jrg berlaku sbb ksemuanya hanya mengejar kbhagiaan perseorangan,huh!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...