Salam Palestina..
Menghayati Rejab sebagai salah satu dari bulan-bulan 'Haram' didalam Islam merentet diri kepada mengamati sejarah berlakunya peristiwa-peristiwa penting kepada orang Islam pada bulan ini, misalnya berlakunya peperangan Tabuk, pembebasan Al-Aqsa dari tangan tentera Salib dan juga pada bulan inilah berlakunya peristiwa Isra' dan mikraj Nabi Muhammad saw. Isra’ Mikraj sebagai satu peristiwa yang luar biasa juga diluar jangkauan akal manusia seharusnya mendatangkan kesedaran kepada kita akan betapa harusnya kita menghayati hikmah mengapa Allah sengaja mendatangkan peristiwa agung ini. ISRA’ MIKRAJ terdiri daripada dua perkataan, kata yang pertama adalah Isra’, bererti satu perjalanan yakni perjalanan Nabi Muhammad SAW di malam hari, dari Masjidil Haram di Mekah, ke Masjidil Aqsha di Palestin. Adapun Mikraj, adalah naiknya Nabi Muhammad SAW dari bumi yang menembus ruang angkasa, sampai pada langit yang pertama, seterusnya ke langit yang ketujuh, menurut kehendak Allah SWT.
Imam Nawawi seorang tokoh perundangan Islam, menyatakan dalam kitabnya Syarah Muslim: "Perkara sebenar yang telah disepakati sama ada oleh ulama fiqh (fuqaha), ulama ahli hadith (muhaddithin) dan ulama ilmu kalam atau ilmu tauhid (mutakallimin), begitu juga para sahabat dan para ulama dahulu serta mutakhirin, bahawa Nabi Muhammad SAW telah diisra’ dan dimikrajkan oleh Allah SWT dengan roh dan jasadnya sekali.
Begitu juga Al Imam Ibnu Hajar mempunyai pendapat yang sama dalam perkara tersebut. Menurut Imam Nawawi, tiada alasan untuk menolak hakikat Isra’ Mikraj Nabi Muhammad SAW dengan roh dan jasadnya sekali, kerana peristiwa Isra’ dan Mikraj agung itu bukan atas usaha ikhtiar Nabi Muhammad SAW sendiri, sebaliknya Nabi Muhammad SAW menghebahkan kepada orang ramai bahawa baginda telah diisra’ dan dimikrajkan oleh Allah SWT bersama malaikat Jibril. Kenderaan yang disediakan oleh Allah SWT bernama Buraq iaitu kenderaan yang dicipta dari cahaya. Buraq kenderaan khusus untuk suatu pengembaraan Nabi Muhammad SAW dalam perisitiwa bersejarah diisra’ dan dimikrajkan ke langit. Ini bermakna bahawa Isra’ Mikraj adalah suatu peristiwa di luar kemampuan Nabi Muhammad SAW untuk melakukannya, sebaliknya ia dikehendaki oleh Allah SWT berlaku ke atas diri Nabi Muhammad SAW dengan dibantu oleh malaikat Jibril. Firman Allah SWT,
Maksudnya:
"Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat."
(Al– Israa’:1)
Ayat ini menjelaskan tentang peristiwa Isra’ Mikraj dengan memulakan kalimah Subhanallah "Maha Suci Allah."Ertinya, Allah SWT itu Maha Suci dari segala sifat kekurangan dan kelemahan. Sekalipun peristiwa Isra’ Mikraj itu perkara luar biasa (ajaib) di sisi akal manusia, tetapi bagi Allah SWT Yang Maha Suci dari sifat kelemahan, maka Dia boleh melakukan apa jua perkara pelik menjadi perkara biasa dan tiada yang mustahil bagi-Nya.
Ibrah Di Sebalik Isra’ Mikraj
• merupakan rentetan peristiwa yang berlaku ke atas Rasulullah SAW secara real sebagai
suatu anugerah dan penghormatan Allah kepada baginda serta pengiktirafan teragung kepada penghulu segala nabi dan rasul.
• merupakan satu mukjizat yang tidak diberi kepada mana-mana rasul sebelum ini.
• merupakan satu perutusan diraja untuk penyampaian anugerah yang paling agung iaitu solat. Kesemua ibadat seperti zakat, puasa atau haji disampaikan melalui malaikat Jibril,tetapi solat, oleh sebab ketinggian darjatnya, ia disampaikan secara langsung melalui satu peristiwa gemilang antara Rabbul Jalil dengan Rasulullah SAW.
• merupakan pengalaman yang paling manis buat Rasulullah SAW setelah mengalami tekanan perasaan apabila dua orang penyokong kuatnya, Siti Khadijah dan bapa saudaranya, Abu Talib meninggal dunia.
Sesungguhnya, peritiwa Isra’ dan Mikraj juga adalah ujian yang amat berat buat sekalian manusia untuk mempercayai adanya Allah Zat Yang Maha Pencipta dan Maha Berkuasa melaksanakan segala kehendak–Nya. Sebagai muslim sejati, kita penuh yakin bahawa Isra’ dan Mikraj Rasulullah SAW itu adalah berlaku dengan jasad dan roh Baginda. Peristiwa Isra’ dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat, kebesaran dan kekuasaan Allah SWT kepada junjungan besar umat Islam Nabi Muhammad SAW.
Amat berbeza sekali, orang-orang kafir di zaman Rasulullah SAW langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi Muhammad SAW sebaik Baginda bercerita kepada mereka. Golongan orang-orang kafir tidak percaya kerana pada pemikiran mereka amat mustahil Nabi Muhammad SAW menjalani Israk’ dan Mikraj di dalam waktu begitu singkat iaitu cuma sepertiga malam sahaja. Pada hal perjalanan yang begitu jauh jaraknya iaitu dari Masjidilharam di Mekah ke Masjidilaqsa di Palestin. Kemudian naik menjalani tujuh lapisan langit. Menurut dakwaan mereka, yang demikian itu adalah suatu yang tidak masuk akal jika dilakukan oleh manusia seperti Nabi Muhammad SAW.
Kemuncak Yang Paling Agung
Nabi Muhammad SAW berjaya menempuh pelbagai ujian dan rintangan sehingga ke Mustawa. Di sini Malaikat Jibril berhenti kerana tidak mampu melangkah lebih jauh lagi. Rasulullah SAW meneruskan perjalanan bersendirian hingga ke 'Arasy. Inilah kemuncak yang paling agung, di mana Baginda menerima perintah solat 50 waktu sehari semalam. Atas nasihat Nabi Musa, Rasulullah SAW merayu kepada Allah untuk dikurangkan sehinggalah menjadi 5 kali sehari semalam. Inilah mukjizat terbesar yang dikurniakan kepada Baginda sebagai satu pengiktirafan Allah kepada Nabi dan Rasul teragung sepanjang zaman. Nabi Muhammad SAW menerima wahyu terus dari Allah SWT berupa perintah kewajipan mengerjakan solat lima waktu sehari semalam yang diperuntukkan kepada seluruh umatnya.
Kesimpulan
Kesempatan ini, kita seharusnya meneliti semula perlakuan solat kita supaya solat yang kita tunaikan ini dilaksanakan dengan sebaik– baiknya samada dari segi lahiriah mahupun batiniah kerana sesungguhnya, nikmat yang paling besar di sebalik peristiwa Isra’ Mikraj ialah kewajipan solat yang kita sama– sama laksanakan setiap hari sebanyak lima kali sehari semalam.Seharusnya kita azamkan agar solat yang kita kerjakan sentiasa lebih baik dan bahkan lebih sempurna dihadapan Allah SWT. Kita kerjakan solat tersebut dengan penuh khusyuk dan ikhlas semata– mata kerana Allah SWT, bukannya kerana harta-benda, manusia, kedudukan dan sebagainya. Melaksanakan solat sehari semalam merupakan perbuatan yang sangat ringan bagi orang mukmin yang hatinya penuh kekhusyukan dan ketaqwaan kepada Allah SWT sehinggakan hatinya selalu dekat dan pasrah, semata– mata mengharapkan keredhaan-Nya. Sebaliknya, perbuatan mengerjakan solat dirasa sangat berat sekali bagi orang yang hatinya jauh dengan Allah SWT kerana ketaqwaannya tipis, hidupnya sentiasa didorong oleh kepentingan hawa nafsu syaitaniah dan angkara murka.
Wallahua'alam..
0 ingatan dari teman:
Post a Comment