"Jika amanah ini disia-siakan, maka tunggulah kehancurannya". Ada yang bertanya,"bagaimanakah yang dimaksudkan mensia-siakannya?"Beliau menjawab,jika urusan ini diserahkan kepada bukan ahlinya,maka tunggulah saat kehancurannya"
(H.R Bukhari)
Saya memulakan penulisan ini dengan sepenuh pengharapan agar fasa pembinaan generasi tidak diambil ringan lalu dipandang sepi.Kerisauan kita pada saat ini ialah kegagalan kita dalam mempersiapkan generasi, bukan hanya sekadar generasi yang membawa kita keluar daripada krisis besar dan menjadi hero di medan gawat,tetapi jauh lebih luas lagi termasuklah mereka yang mencakupi setiap genap pemikiran,pendidikan, peradaban dan keilmuan.
Ketika saya di tahun dua, saya ada melontarkan kemahuan saya mengenai konsep asas ahli gerakan.Namun bila membacanya semula, saya pasti adakalanya ia seolah-olah tidak praktikal. Anda mungkin boleh menilainya juga. (Baca di sini)
"Setiap zaman dan waktu pasti ada pemimpinnya, dan setiap pemimpin memiliki konsep dan jalan pemikirannya"
Almarhum Ustaz Fadhil Nor ada menyantuni kita semua satu ketika dahulu,dengan peringatan bahawa,
“kita mestilah kontemporari dalam tindakan, fundamental dari segi prinsip dan futuristik pada perancangan.”
Dalam perihal ini,saya sangat setuju andai pendekatan itu diubah,bahkan kajian semula kepada sistem tarbiyah di kampus juga relevan andainya manhaj seumpama itu gagal membentuk generasi yang baik.Fokus keutamaan adalah pada apa yang kita perlu,bukannya apa yang kita mahu!
Bahkan dalam proses memutuskan sesuatu hukum, antara prinsip yang dipandang berat oleh para ulama ialah “taghayyurul ahkami bitaghayyuriz azmaani” (perubahan hukum berdasarkan perubahan zaman). Prinsip ini sangat jelas signifikannya tambah-tambah zaman kini nada masyrakatnya berbeza,nyata tidak hairan mengapa ulama seperti Ghanouchi berani dalam ijtihad politiknya di pilihanraya Tunisia,dan ianya berhasil!
Sesuaikanlah pendekatan mengikut kesesuaian zaman. |
Potensi-potensi ahli yang pelbagai harus disusun mengikut posisi tertentu bagi memastikan gerakan menghala kepada perancangan dan tindakan yang sistematik, dengan syarat pejuang-pejuang tadi dimobilasi dengan sebaiknya.Menjadi tanggungjawab kepimpinan, murabbi, nuqaba’ dan sebagainya supaya meletakkan tugas mobilasi ini sebagai satu tugas yang serius lalu memastikan pengganti mereka lebih baik serta tidak mengulangi kesilapan lalu.
Almarhum Ust Fathi Yakan menyebut dalam kitabnya "Generasi Muda dan Perubahan",beliau meletakkan fasa pembinaan generasi pada 3 asas utama iaitu dari aspek pemikiran,kejiwaan dan haraki. Dari aspek pemikiran,persoalan utama yang harus dibangunkan ialah thaqafah (pengetahuan). Aspek kejiwaan pula berfokus pada pembangunan elemen tarbiyyah ruhiyyah,penyucian jiwa,pembersihan hati dan kerangka hubungan kita dengan Allah. Manakala dari sudut persediaan haraki pula,sifatnya lebih luas dengan dengan apa sahaja yang berhubung dengan persekitaran dakwah, medan amal Islami termasuklah dalam aspek fardhu kifayah seperti kemahiran dalam sains,ekonomi bahkan juga dalam ketenteraan.
Firman Allah:
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.”
(an Nisa’:58)
Saya doakan yang terbaik bagi generasi kepimpinan akan datang,insyaAllah didoakan lebih baik daripada sebelumnya, biiznillah.
Wallahua'alam..
0 ingatan dari teman:
Post a Comment