27.7.13

Nomad : Definisi

Salam Ramadhan..

Sejak kecil, apa yang saya mengerti dari kehidupan ini ialah nomad-berpindah-randah. Di awal sebelum sebermulanya alam tadika, saya dibesarkan bersama atuk dan nenek di Muar, di situ cerita menoreh di kebun getah belakang rumah, riuh-randah di warung mi bandung Muar kepunyaan nenek sering menjadi cerita ulangan bila saya pulang ke kampung. Saya tidak pasti adakah saya betul-betul mengingatinya, tapi apa yang pasti, atuk dan nenek akan bercerita perkara yang sama untuk bertahun-tahun lamanya - dengan nama jolokan saya 'Mat' - yang pernah menjadi kenangan mereka sewaktu saya yakni cucu pertama yang dibesarkan mereka 20 tahun sudah. Beruntung menjadi cucu dengan gelaran tersendiri kepada atuk dan nenek. Motif?
1995 : Sudah sukakan pantai~
Kemudian apabila saya kembali ke asalan saya, Labis tidak beberapa lama saya berpindah ke Segamat atas sebab pertukaran tempat kerja ayah. Di sini saya tidak pasti kenapa ia lebih sunyi dari kehidupan sebelumnya. Satunya mungkin emak yang masih bekerja di Labis terpaksa berulang-alik menaiki bas seawal pagi dan sampai rumah pada lewat petang. Masa bersama emak juga agak terhad ketika ini tambah-tambah dengan keterbatasan masa dan ruang. Namun, walau emak bekerja, mak masih menjadi suri yang baik buat ayah dan madrasah yang terbaik buat anak-anaknya. Kelas mengaji, makan dan pakai masih sama seperti sebelumnya. Walaupun ia bukan kewajipan dan boleh digalaskan pada ayah dan kakak, tapi emak memandang lebih daripada itu - kerna di sinilah saya sentiasa mengangkat emak berbanding ayah.

1997 : Selang beberapa tahun sebelum kami ber-tujuh :)

Sebelum tamat sekolah rendah di STAR, saya kembali semula ke Labis untuk menemani emak sambil ayah berusaha berpindah tempat kerja semula ke sini. Selepas UPSR, saya memulakan kehidupan berdikari di asrama di Segamat semula untuk 5 tahun kemudiannya. Asrama menjadi sebab saya berjumpa dengan berbagai latar-belakang individu dan pengalaman-yang menjadi asas dan teras kepada pendirian saya ketika ini. Sama juga dengan mereka-mereka yang juga pernah berasrama, tetapi kebanyakan asas mereka di asrama tika dahulu sudah dilupakan,sirna dan pudar dengan mungkin kejutan budaya yang silir berganti dibuai zaman.

Cuti sekolah menengah pastinya membawa saya kepada kedamaian kota Melaka, musafir individu di pondok BQ Sg Udang. Hampir-hampir selalu teringat kisah dirompak dalam perjalanan menaiki bas, diculik abang-abang pondok yang menyamar dan mimpi-mimpi bersama tuan guru yang menjawab kekusutan masalah fiqh - sampai kini saya berpegang bahawa adakala mimpi yang dibawa dalam tidur yang berkeadaan baik juga memberi jalan keluar kepada segala kerumitan yang berlaku. 

Sampai masanya, saya menjengah pula ke Gambang, Pahang untuk program setahun matrikulasi walaupun sebahagian besar teman saya kebanyakannya di Tangkak, Johor. Asas permohonan ke sini ialah hanyalah kerana ketika ini satu-satunya matrikulasi di pantai timur hanyalah di sini. Dan pastinya saya adalah peminat makanan dan tempat pelancongan di  rantau ini-kecuali bola. Pelbagai budaya, dialek dan sikap yang  berbeza berlaku sepanjang pengamatan saya ketika berada di sini - tambah-tambah pelajar selain asalan pantai timur boleh dibilang. Setahun ini saya hanya pulang ke Johor untuk beberapa kali. Menghargai masa yang ada terutama untuk pembinaan diri dan juga suasana pantai yang tidak menjemukan.

Bangi - plot-plot kisah kehidupan yang masih dibina. Cuma satu, saya masih berat untuk melepaskan dan meninggalkannya untuk sementara ini dan alhamdulillah Tuhan masih memudahkan urusan rezeki dan bahagia saya di sini.

Refleksi

Pengkisahan yang saya nyatakan sebentar tadi ditujukan kepada diri saya sendiri, sebagai ingatan Ustaz Hasrizal bahawa plot-plot penting kehidupan perlu ditulis agar ianya kekal sebagai pengalaman yang tidak dilupakan. Kedua, setiap penulisan yang ada di dalam mana-mana penulisan saya juga semestinya saya mahu generasi saya terkemudian kekal membacanya - bahawa zaman kini tidak semestinya sama pada zaman kalian - maka jadikan ia sempadan dan ukuran pada tiap-tiap perlakuan dan keadaan.

Terkadang, kehidupan nomad ini juga boleh kita memandang sebagai proses kita mengecas semangat dan sinergi baru. Buktinya, solat terawikh di masjid yang berlainan pada hari-hari di bulan Ramadhan memberikan kita suatu perasaan baru, bahkan menambahkan kesungguhan untuk kita memanfaatkan setiap ruang yang ada. Sama juga dengan tempat pengajian dan suasana kerja yang baru.

Setiap orang pasti mempunyai sejarah kehidupan yang tersendiri, dan ambillah masa untuk merenung semula perancangan Allah ini tahun demi tahun dan anda akan melihat betapa Allah sangat teliti dalam berkasih sayang dengan hambaNya. Mungkin kisah lama juga menjadi muhasabah untuk menjadi lebih baik dan jangan dilupakan akan sejarah yang akan dicipta. Maka pilihlah untuk menjadi sebahagian dari sejarah yang unik. 

18 Ramadhan 1434H
Labis, Johor.

Wallahua'alam..

2 ingatan dari teman:

Fitrianto said...

Berkisah tentang sejarah akan menghadirkan kesan tersendiri bagi diri tentang kenangan masa lampau.
ada pepatah mengatakan: Jangan sekali-kali kita melupakan sejarah.
Syukran akhi telah menulis tulisan ini. Saya suka... :)

fariQfitri said...

Ya, tak sabar kiranya mahu dengar cerita nta juga.

Jumpa september nanti akhi, moga Allah redha.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...