27.8.10

Fahamkah kita erti kemerdekaan..?

Salam Palestina..

Generasi muda dan perubahan. Hayat kemerdekaan negara kini hampir berganjak kepada usia 53 tahun, namun saya merasakan kita  majoritinya tidak begitu faham akan frasa merdeka ini. Merdeka adalah satu istilah yang sinonim dengan kebebasan. Soal merdeka dan bebas sering dikaitkan dengan perhambaan demikian juga dengan penjajahan. Adapun berbangkit soal nasionalisme. Bagi kebanyakan manusia, kemerdekaan bererti bebas melakukan sesuatu atau segala suatu mengikut kehendak sendiri, tanpa ada sekatan dan halangan mahupun paksaan dari sesiapa pun. Namun begitu,posting saya kali ini ingin saya bawakan bahawa Islam juga  mempunyai persepsi dan konsepnya yang tersendiri mengenai kemerdekaan dan kebebasan.


Sejarah telah mencatatkan betapa pemimpin Islam, Amirul Mukminin Umar al-Khattab adalah antara tokoh yang pertama sekali mengisytiharkan kebebasan hak asasi manusia. Di dalam peristiwa di mana anak kepada Gabenor di Mesir (Amru al-‘As) telah berjaya dikalahkan oleh seorang rakyat dzimmi dari bangsa Qibti, pemuda Qibti tersebut telah dipukul oleh anak Amru kerana mengalahkannya. Sebaik sahaja peristiwa ini berlaku, pemuda Qibti tersebut mengadukan hal ini kepada Amirul Mukminin yang berada di Madinah. Umar telah bertindak memanggil Gabenor Mesir bersama anaknya untuk dibicarakan. Lalu Umar meminta pemuda Qibti tersebut membalas qisas pukulan yang telah mengenainya ke atas anak Gabenor. Selepas tindakan pertama diambil, Umar meminta pula supaya dipukul bapanya (Amru sendiri), tetapi pemuda tersebut menolak kerana bapanya tidak bersalah. Setelah tindakan di ambil Umar berkata kepada Amru dalam ucapannya yang terkenal: “Wahai Amru! Sejak bilakah kamu memperhambakan manusia sedangakan mereka telah dilahirkan oleh ibu-ibu mereka dalam keadaan merdeka.”

Peristiwa ini membuktikan betapa Islam amat prihatin terhadap soal kebebasan hak asasi manusia sedangkan musuh-musuh Islam sering melabelkan Islam sebagai agama yang memaksa manusia tambahan pula dengan luasnya empayar Islam serta jajahan takluknya suatu masa dahulu. Di sini perlulah difahami dengan sebenar-benarnya konsep kemerdekaan di dalam Islam sebagaimana disabdakan Rasulullah saw, maksudnya “Menjadi Islamlah kamu; nescaya kamu selamat.”(Riwayat Bukhari)


Hadith yang saya selitkan tadi adalah di antara kandungan utama yang dimuatkan di dalam surat-surat Rasulullah saw yang dihantar kepada pembesar-pembesar Rom, Parsi, Habsyah dan lain-lain. Ertinya, seruan Rasulullah yang utama kepada selurun manusia di mana jua mereka berada adalah supaya mereka menjadi Islam demi keselamatan mereka sendiri.

Hakikat ini sukar dibayangkan bagi insan yang melihat kehidupan secara zahir dan berdasarkan mata kasar (material) semata-mata. Tidak semua manusia dapat menilai keselamatan yang dijamin apabila memeluk Islam dengan sebenar-benarnya. Lihat sahaja nasib umat Islam hari ini di serata dunia; yang ditindas dan dizalimi. Atau lebih khusus pada ketika Rasulullah saw menyeru dakwah ini, tiada sebarang jaminan keselamatan jiwa mahupun maruah yang dapat diberi oleh gerakan Islam.

Islam menjamin keselamatan serta kebebasan manusia dari beberapa sudut. Jaminan pertama dan paling utama adalah keselamatan di akhirat kerana hanya orang yang beriman sahaja yang akan terselamat dan merdeka dari azab siksa dan kesukaran hari kiamat.

Jaminan kedua adalah berupa pembebasan diri, kemerdekaan jiwa bahkan pemikiran manusia dari menjadi hamba yang mengikut telunjuk kepada hamba yang hanya menurut petunjuk Tuhan. Hakikatnya, manusia tidak dapat lari dari menjadi pengikut sama ada ia memilih ikutan yang benar atau salah. Manusia adalah makhluk yang tidak boleh tidak pasti bergantung kepada orang lain. Dari sini Islam menjadikan manusia tidak dikongkong sesama manusia kerana manusia  tidak layak dipertuankan kerana ia pasti memiliki kelemahannya sendiri.

Justeru,dengan meletakkan dirinya di bawah naungan manusia lain yang lemah sepertinya juga, dia tidak dapat memastikan keselamatan dirinya. Inilah seruan yang telah dilafazkan oleh wakil tentera Islam Rab’i bin ‘Amir ketika berhadapan dengan panglima tentera Parsi, Rostum. Rostum mempertikaikan kehadiran tentera Islam ke dalam wilayahnya sedangkan mereka tidak melakukan apa-apa ke atas negara Islam. Beliau menjamin tidak akan mengambil sebarang tindakan dan memberi laluan pihak Muslimin yang ingin masuk berdagang atau berniaga tanpa gangguan sekiranya tentera Islam bernundur dari sempadan empayar Parsi. Rab’i menjawab: “Kami adalah satu kaum yang diutuskan oleh Tuhan untuk mengeluarkan manusia dari menjadi hamba kepada manusia kepada menjadi hamba kepada Tuhan segala hamba.”

Situasi kini

Saya setuju jika seruan ini jualah yang dibawa dalam gerakan-gerakan dakwah hari ini. Menyeru manusia supaya menjadi hamba Allah sahaja bukan menjadi manusia yang terikat dengan tekanan dan ugutan manusia lain. Hakikatnya, pendokong gerakan Islam yang sejati akan menyedari bahawa nasib dirinya dan kehidupannya hanya ditentukan Allah. Lalu dia tidak merasa gentar apabila dihadapkan dengan sebarang ancaman dari golongan penguasa yang cuba menghalang keimanannya kepada Allah serta hak-hak ketuhanan-Nya.

Manusia muslim di dalam gerakan Islam sahajalah yang benar-benar menghayati seruan ini kerana mereka tidak merasakan apa-apa terhadap bahaya musuh. Dari sinilah kita akan dapati orang-orang miskin di kalangan pendokong gerakan Islam tidak merasa bimbang terhadap soal rezeki yang diancam musuh Islam. Bahkan mereka adalah di antara golongan teramai yang menyertai harakah lantaran tidak ada sebarang kepentingan dunia yang mengancam. Orang-orang kaya di dalam gerakan pula tidak merasa bimbang kehilangan harta kerana yakin bahawa harta adalah kurniaan Allah. Dia yang menjamin harta itu kekal atau hilang dari tangannya. Golongan politikus yang menyertai gerakan Islam tidak merasa bimbang terhadap pengaruh karier politiknya kian menurun akibat menganggotai gerakan Islam. Kepentingan yang paling utama adalah untuk mengembalikan hak-hak ketuhanan yang merangkumi hak ibadah, cinta, ta’at, perundangan (hakimiyah) dan memberi rezeki hanya kepada Allah.

Di sinilah mereka akan merasai keistimewaan menjadi anggota gerakan Islam yang sifatnya berhadapan dengan golongan yang menolak Islam sama ada secara silmi (aman) mahupun secara keras. Walaupun dimomokkan dengan kemiskinan, kekurangan dan ketinggalan serta kata-kata yang mencela, pendokong gerakan Islam pasti merasa selamat kerana mereka telah menyerahkan diri untuk berkhidmat kepada Tuhan di dalam menegakkan hukum-Nya sebagai syarat mendapat keselamatan di akhirat. Bukan seperti golongan yang menerima Islam hanya sebagai ibadah khusus, pembersihan jiwa semata-mata mahupun sebagai agama rasmi untuk upacara-upacara tertentu sahaja.


Dalam soal kemerdekaan dan kebebasan ini,saya suka memetik ulasan Syed Qutb mengenai andaian yang mengatakan bahawa gerakan harakah pada zaman Rasulullah adalah dilandaskan kepada nasionalisme melalui kitabnya "Ma’alim fi al-Tariq" : Katanya, “Bukanlah jalan Islam bahawa bumi ini lepas bebas dari tangan taghut berbangsa Romawi atau taghut berbangsa Parsi pada zaman Rasulullah untuk berpindah tunduk di bawah tangan taghut berbangsa Arab kerana taghut itu adalah taghut jua walau dari bangsa apa pun. Bumi ini adlaah kepunyaan Allah dan mesti dibebaskan untuk Allah dan kerana Allah sahaja. Seluruh manusia adalah hamba Allah, tetapi manusia tidak akan menjadi hamba Allah yang sebenar selagi dia tidak tunduk di bawah kuasa dan perintah panji-panji LA ILAHA ILLA ALLAH.”

Demikian juga tiada ertinya kemerdekaan jika kuasa Allah tidak menjadi penentu dan undang-undang biarpun penguasa yang ada adalah dari kalangan peribumi wilayah itu sendiri.

Wallahua'alam..

2 ingatan dari teman:

Bro Yusry said...

Bagus penulisan anta. Teruskan menulis ya. Belajar lagi tentang penulisan. Mudah-mudahan akan menghasilkan karya yang hebat.

fariQfitRi said...

syukran ustaz..mohon tunjuk ajar dari nta jua..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...