31.12.12

2013 : Betulkan Pandangan Kita Pada Hidup

Salam Palestina, Syria dan Rohingya..

Untuk yang terawal, bersama rasai inspirasi dari Buya Hamka;

"Orang yang celik mata batinnya itu apabila memandang, walaupun matanya memandang alam, namun batinnya tetap memandang Tuhan".

Walaupun takrifan tepat memandang kepada kehidupan sifatnya subjektif, namun hakikat kebenaran itu masih lagi dikongsi oleh fitrah manusia. Semuanya merasa. 

Moga sebermula lembaran 2013 kelak, kita yang keterbatasan masa untuk hidup ini masih sempat menikmati hidup ini pada cara yang betul.


Hiduplah Untuk Hidup! 

Hidup tidak boleh dibelenggu jemu dan lesu. Hari-hari adalah lembaran baru yang perlu dilorek dan diukir dengan keindahan dan keceriaan. Hari-hari adalah peluang untuk mencipta yang lebih baik. Nafas dan aliran darah adalah modal untuk ibadat.

Susah dan payah adalah baja yang membina kematangan dalam jatuh bangun diri menuju Ilahi. Sementara sabar dan syukur adalah minyak pada pelita hidup yang meliuk lentok dipikul badai kehidupan. Kekadang marak menyala, kekadang bekerdip berbalam-balam. Namun padam tidak sekali-kali !

Tidak gusar bersendirian, dan tidak tersasar ketika kesunyian. Di kala sepi,sentiasa di hati ada Sang Pemerhati. Sesetengah ilmu tidak boleh diajar, tetapi hanya boleh dipelajari. Tidak ada bagi kita guru tertentu, tetapi hakikatnya kita adalah pelajar sepenuh waktu.

Usah berubah pendirian, walau beralih pendekatan. Jadilah wajah yang satu di hadapan yang SATU. Mendongak tidak bongkak, mengalah tidak kalah. Tiada istilah kalah, cuma kemenangan yang masih tertangguh.

Sesungguhnya hidup sebelum mati ini adalah bekal untuk hidup selepas mati. Justeru, hiduplah selagi hidup.

"Dunia tidak pernah dimiliki oleh sesiapa pun sebaliknya hanyalah warisan yang berpindah dari satu tangan ke tangan yang berikutnya"

-Syeikh Muhammad Mutawwali Sya'rawi-

nota : Antara titipan sepanjang pembelajaran  ringkas bersama Al-Fadhil Ust Pahrol Md Juoi & Ust Rasyidi Jamil al-Rashid, kalianlah antara insan yang benar-benar memimpin saya mengenal erti hidup, pada kerdilnya jiwa seorang hamba.       

Wallahua'alam..

2 ingatan dari teman:

Fitrianto said...

Kerana hidup adalah untuk bersyukur.. :)
"Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat), dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan." (QS Al-Hasyr [59]: 18).

fariQfitri said...

Fitriyanto : Terima kasih atas ingatannya. Harapnya semangat saudara bisa 'menjangkiti' saya :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...