Showing posts with label Respon Semasa. Show all posts
Showing posts with label Respon Semasa. Show all posts

9.10.14

Esok Mungkin Tidak

Salam Palestina..

Terasa lama juga tidak menulis di sini sepeninggalan post terakhir tentang Ramadhan, Julai lalu. Namun saya ada juga berbasa-basi membaca semula artikel yang jauh berlalu, meneliti perkembangan dan perubahan isi penulisan - yakni penaksiran terhadap diri sendiri dalam fatrah menimba pengalaman.

Bermula Oktober ini genaplah 8 bulan saya menguruskan pendirian, penghayatan dan pemaknaan pada hidup secara kendiri - juga secara total. Berbeza dari kehidupan bersama teman-teman di luar universiti bermula semester dua tahun 1 di UKM hinggalah Januari lalu, kini saya telah mendaftarkan diri saya sebagai satu-satunya anggota masyarakat yang tidak berkeluarga di kawasan perumahan 100% bumiputra ini.  


Apabila saya belajar dari hari-hari yang berlalu dalam kehidupan, saya berpendirian kita kerap merungut kerana tidak diberi dan tidak mendapat itu dan ini dari seseorang, adalah juga disebabkan kerana keengganan kita memulakan pemberian perkara yang sama pada seseorang tersebut. 

Saya cukup terkesan dan turut berpegang dengan kata-kata seseorang pada saya - jangan selalu meminta itu dan ini dari Tuhan, tetapi masih tidak menghargai dan memanfaat nikmat dari Tuhan yang dikecapi di dalam hidup. Insan-insan yang diutuskan Tuhan kepada kita adalah sosok kurniaan untuk kita. Hiduplah sepenuhnya, ketawa, menangis, rindu dan sedih bersamanya - kerana esok mungkin sudah tiada.   

Di ambang berakhirnya 2014, saya kehilangan seorang lagi sahabat yang mengajarkan saya bagaimana erti memandang pada hidup. Pada ketika saya menghantar mereka untuk memulakan kehidupan berumah tangga, kali ini terpaksa juga saya memendam perasaan untuk meraikan Aidiladha bersama keluarga. Saya masih cuba memaknakan hari-hari dan saat-saat penghabisan persahabatan untuk kami saling bercerita, mengusik dan saling menenang - sepertimana warna-warni kenangan yang berlalu pada waktu-waktu sebelumnya.


"Ya Allah, apa saja nikmat yang kami dapati ini dari mana-mana makhlukMu 
maka sebenarnya dari Engkau jua.
 Tidak ada sekutu bagiMu. Puji dan kesyukuran (kami) untukMu."


Dan saya pun pasti, kita semua akan mula menghargai apa-apa yang sudah tiada walaupun ia menjadi milik kita pada sesaat sebelumnya. Kerana itu, maka hargailah seadanya.     

Wallahua'alam.

4.7.14

Ramadhan Masih Ada !

Salam Ramadhan..

Seketika bila Opick mendendangkan,

"Allah Engkau dekat, penuh kasih sayang,
Takkan pernah Engkau biarkan hambaMu menangis
Karna kemurahanMu, karna kasih-sayangMu.."

Sambil membaca, mendengar dan mengulang lagi. Saya tidak pasti mengapa, sebermula Ramadhan kini, diri terasa hanyut bahkan kaku dengan karya Opick dan lagu-lagunya, buya Hamka serta inspirasi-inspirasinya. 

Mungkinkah atas kerana inspirator itu tidaklah jauh dari bumi tempat berdiri? Seketika ia terngiang lagi ;

"DenganMu aku hidup, denganMu aku mati,
Hanyalah padaMu, hanyalah untukMu,
Hidup kan dijalani.."

Ramadhan ini cukup indah. Bak kata Nabi SAW, air mata seorang bila telah titik mengenang Tuhannya, itulah tali penghubung antara bumi dan langit.

Terpana pula mata pada bait-bait Buya Hamka pada ingatan malam seribu bulan ;

"Puasa Ramadhan lebih-lebih lagi, adalah pintu untuk memasuki suasana itu. Moga-moga entah di malam yang mana, memang terbukalah pintu langit bagi rohani kita. Ibarat kita memutar knop radio, mencari-cari satu stesen gelombang pemancar, padahal banyak gangguan, akhirnya bertemu juga; tidak kita lepas-lepaskan lagi. Sekali bertemu, jadilah, nilainya sama dengan 1000 bulan."


Asyik rasa di hati tidak sekata perasaan di mimik muka. Tidak kelihatan gembira di wajah tidak bermakna hati turut meleka. Oh, janganlah Ramadhan pergi terlalu cepat.

Di tepian lereng Langit Ramadhan.

Ramadhan bukanlah hanya untuk kita. Ramadhan adalah rahmat untuk alam. Tambah-tambah Lailatul Qadr yang dinanti-nanti itu turut menjadi saat gembira buat sekalian alam ;

'waktu itu, sujudlah segala umat semesta - kayu-kayan, rumah-rumah, gunung-ganang, air pun berhenti mengalir. Seluruh dunia diliputi oleh cahaya lain dari cahaya pelita, lain dari cahaya bulan, lain dari cahaya matahari. Pintu langit terbuka. Ketika pintu langit itu terbuka, maka sesiapa yang dikehendaki Allah akan makbul doanya, melihatlah dia dan tahulah dia bahawa saat itu telah datang.' 

Persoalan : Siapakah kita di Akhir Ramadhan?


Jika kita tidak meletakkan sasaran pada pengakhiran nanti, maka malanglah kita. Janganlah makhluk bernama Ramadhan itu pergi tanpa mengesankan kita.

Bacalah kisah-kisah dari ramai yang menulis bersama sesalan-sesalan yang tidak berguna selepas peninggalan Ramadhan yang lepas-lepas.

Baru kita tahu, bahawasanya kita masih punya Ramadhan. Untuk tidak disia-siakan, agar kita tidak menduakan. 

Itupun sekiranya kita sedar.

Wallahua'lam..

p/s : Beberapa intipati dari buku karangan Buya Hamka ; Renungan Tasawuf - Manisnya Iman.

Artikel saya yang lepas sempena Ramadhan : KLIK 1   -   KLIK  2   -   KLIK  3

16.5.14

Catatan 16 Mei - Perspektif Pada Perguruan

Salam Palestina..

 “Education is the most powerful weapon which you can use to change the world”. 
-Nelson Mandela-

Bersempena dengan hadirnya ulang-rai Hari Pendidik pada hari ini, saya yang ternyata bukan (baca : masih belum) dari kalangan semulia itu, hadir menyatakan premis saya pada hari ini bahawa - "tidak ramai lagi pada hari ini sanggup bercita-cita untuk menjadi seorang guru". 

Kenyataannya rumit.

Premis saya ini seolah-olah mempersoal hakikat kemuliaan seorang guru walaupun pada maksudnya tidak.

Biar saya nyatakan dulu. 

Pada Namanya Pendidikan

Agama memerintahkan kita untuk berilmu, dengan perintah baca. Lantas kemuliaan seorang insan yang tertaklif padanya dengan anugerah berfikir, harus padanya untuk menjalin sinergi antara baca - berfikir dan berilmu. 

Hakikat ketempangan sistem pendidikan pada hari ini ialah bukan sekadar gagal membentuk rakyat yang berfikir, malah masih ramai rakyat yang kurang membaca. Jauh lagi untuk mendabik 'yang berilmu'.

Statistik Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) membuktikan kerisauan ini, bahawa jumlah muka surat buku yang dibaca rakyat Malaysia setahun hanyalah rata- rata satu muka surat.

Laporan PISA (Program Penilaian Pelajar Antarabangsa) yang merupakan sebuah kajian yang dijalankan tiga tahun sekali oleh badan antarabangsa Organisation for Economic Cooperation and Development (OECD) yang melibatkan 510,000 murid berusia 15 tahun dari 65 buah negara dari seluruh dunia - dalam edisi terkini, Malaysia mendapat tempat ke-55 secara keseluruhan, lantas meletakkan Malaysia dalam kelompok 20 peratus tercorot daripada 65 buah negara yang dikaji. 

Lebih teruk lagi, prestasi murid kita adalah lebih rendah berbanding dengan negara jiran seperti Singapura (ke-2), Vietnam (ke-17) dan juga Thailand (ke-53).    

Dua statistik ini bukanlah suatu kesimpulan akhir terhadap hipotesis awal yang saya nyatakan sebentar tadi. 

Ia sekadar pemula.

Conflict interest antara Pedagogi Guru -Sikap Pelajar- Sangka Ibu Bapa

Pedagogi ataupun ungkapan sesuai sebagai pendekatan dalam mendidik, menjadi suatu teras dalam konseptual komunikasi antara guru dan pelajar. Ada beberapa tekaan saya sebelum ini mengenai kesilapan dalam pendidikan ialah berbalik kepada soal pedagogi ini.

Namun hampir-hampir saya tersilap dalam berhukum.

Tidak semua yang terjadi berpunca daripada guru. 

Guru di setiap rangka waktu sibuk mengalahkan kerani menyiapkan dokumentasi rekod pra dan pasca mengajar. Letih pada kerangka pengkeranian berbanding bertenaga dalam kreatif berpedagogi.

Senior kepercayaan saya di UKM yang kini seorang guru didakwa memukul bahu seorang pelajar perempuan sehingga lebam dan diakibatkan kecaman dari bapa pelajar tersebut walhal beliau tidak berbuat demikian.

Sistem hari ini memangkinkan fikiran pelajar pada orentasi peperiksaan dan menang-kalah.

Pelajar pada hari ini sekadar menjawab peperiksaan berdasarkan APA ulangan soalan dan jawapan berbanding berfikir BAGAIMANA berfikir dan menjawab. 

Tidak seperti pada apa yang diajarkan agama supaya mengejar maltlamat tertinggi dalam berilmu untuk mencari kebenaran dan setia dengan kebenaran tersebut.



Selamat Hari Guru pada Pendidik Yang Superb !

Ya, tidak ramai lagi pada hari ini sanggup bercita-cita untuk menjadi seorang guru melainkan 'yang terkecuali' itu juga bercita-cita menjadi seorang pendidik.

Apalah yang dapat dibuat dengan sikap kompleks pelajar dan ibu-bapa hari ini yang ternyata memenangkan sistem berbanding bersubahat dengan guru memperbaiki mutu pendidikan?

Menjadi seorang guru dengan sekadar menjalankan rutin dan memenuhi syarat mengajar tidak sesempurna seseorang guru berjiwa pendidik yang melaksanakan tanggungjawabnya dengan amanah tanpa syarat. 

Tanpa syarat untuk meraih elaun tambahan, tanpa syarat mengejar pujian dan bunga-hadiah dari pelajar dan ibu-bapa mereka, malah tanpa syarat untuk semata-mata mengejar status 'guru cemerlang'.

Bahkan, mendidik dengan jiwa merdeka pada Tuhannya, menyempurnakan tuntutan beragama langsung mewakili tugas nabi yang akhir-akhir ini kian dilupakan.

Dan apalah tugas yang lebih memeritkan dari tugas sosok seorang guru dari menyelamatkan kroniknya krisis rakyat yang terlanjur terkujur di balik dua statistik di atas.

Moga-moga cahaya ilmu di dada seorang guru itu membesarkan jiwanya untuk juga bergelar seorang pendidik.

Wallahua'alam..

29.3.14

Di Sebalik Tersiratnya Sebuah Hikmah

Salam Palestina..

Sesungguhnya adalah sebuah keistimewaan, apabila di sebalik tiap-tiap ketentuan Allah yang tersurat wujudnya jua sesuatu yang tersirat. Dan apa-apa yang tersirat daripada pandangan zahir seseorang manusia kerap kali disinonimkan sebagai apa yang dinamakan hikmah. Mana mungkin dari Allah itu tidak baik, kerna setiap dari kekasih (Allah) adalah yang terbaik. 

Hikmah itulah, kebanyakan menggunakan segenap perkataannya sebagai kata akhir di tiap-tiap tragedi, perisitiwa yang menyakitkan dan mereka lupa, untuk meletakkan persangkaan baik kepada Yang Maha Menentukan daripada sebuah rahsia dan kebaikan yang meniti di dalam hanya satu perkataan.

Ada sebuah peristiwa yang ingin saya kongsikan, dapatan daripada kalam Ust Don Daniyal Don Bijayid di dalam satu kuliah.

Suatu ketika, Nabi Allah Musa A.S. ketika mana sedang berbicara dengan Allah, Allah ingin mendidik Nabi Musa melalui suatu persitiwa. Allah menyeru Nabi Musa untuk pergi ke sebuah perigi dan mencari tempat berselindung di sebalik perigi tersebut. Lalu ketika mana Nabi Musa sedang berselindung, datang seorang anak muda menunggang kuda datang ke perigi tersebut untuk menghilangkan dahaga. Pemuda tersebut mempunyai seuncang emas dan apabila hendak minum air dari perigi tersebut, pemuda tersebut meletakkan uncang emas tersebut di tepi perigi tersebut supaya tidak jatuh ke dalamnya.

Apabila selesai sahaja minum, dengan izin Allah, pemuda tersebut lupa akan uncang emas yang diletakkannya di tepi perigi lantas berlalu pergi dan meninggalkan emas tersebut. Tidak lama kemudian, datang seorang pemuda penggembala kambing ke perigi tersebut. Apabila sampai sahaja penggembala tersebut di sisi perigi, beliau menemui uncang emas tersebut dan apabila mendapati tiada sesiapa yang berada di situ maka penggembala tersebut pun lantas mengambilnya dan berlalu pergi.

Nabi Musa A.S hanya memerhati atas kerana Allah mengkehendaki baginda untuk sekadar menjadi pemerhati. Tidak lama kemudian, datang seorang tua ke kawasan perigi tersebut. Selepas menghilangkan dahaga, orang tua tersebut pun berisitirehat di kawasan perigi tersebut. Sedang orang tua tersebut berehat, datang kembali pemuda yang kehilangan uncang emasnya sebentar tadi. Pemuda tersebut tidak mengesyaki sesiapa melainkan hanya orang tua tersebut yang mengambil emas tersebut sementelah hanya orang tua tersebut sahaja di situ. Lalu orang muda tersebut memukul orang tua tersebut hingga dengan izin Allah jua, orang tua itu mati setelah dipukul.

Nabi Musa A.S. yang tidak berbuat apa-apa, lantas bertanya kepada Allah akan perkara yang terjadi di  hadapan baginda. Lantas Allah menerangkan bahawa pemuda yang kehilangan uncang emas itu, ayah kepadanya telah berhutang kepada ayah si penggembala kambing yang menjumpai emas tersebut, dan SubhanaAllah, jumlah hutang tersebut menyamai jumlah yang terkandung di dalam uncang yang diambil si pemuda penggembala. Orang tua yang mati dipukul itu pula, merupakan pembunuh kepada ayah si pemuda yang kehilangan uncang emas tersebut, sekaligus membalas semula perlakuan orang tua itu kepada ayahnya.

Begitu Allah bertindak menyempurnakan sebuah keadilan di antara ketiga-tiga lelaki tersebut. Bagi kita mungkin terlalu sukar untuk menerima perkara tersebut melalui apa yang tersurat namun apabila kita mengetahui hikmah di sebalik yang tersirat, kita sedar bukanlah kita yang menjadi penentu kepada tiap-tiap yang berlaku melainkan Allah, Tuhan yang Maha Adil dan Maha Mengetahui.

“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut, kelaparan, kekurangan dari harta benda, jiwa serta hasil tanaman. dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa musibah, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali”. Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat hidayah” 

(Surah al-Baqarah 155-157).

Berita gembira pada orang yang sabar, ketika masa mereka menyebut 'innalillah', natijahnya mereka mendapat selawat dari Tuhan - berbentuk istighfar, rahmat dan hidayah - seolah-olah mereka itu sebahagia-bahagia, seberuntung-untung dari dunia dan berkelangsungan hingga ke akhirat. (petikan dari perkongsian bersama Dr Zulkifli Mohammad Al-Bakri)

Saya cukup terkesan dengan kata-kata ini, kredit kepada Ust Pahrol Mohamad Juoi, "relakanlah Tuhan mencintai kita dengan cara-Nya".



Doa wehdah kami kepada teman-teman ikhwan 529, doa keselamatan kami buat MH370.

“Sungguh mengagumkan urusan seorang mukmin, setiap urusan mukmin adalah baik baginya, hal itu tidak dimiliki oleh siapapun, kecuali oleh seorang mukmin.
Apabila mendapat kesenangan dia bersyukur, dan itu baik untuknya. Apabila mendapat kesusahan dia bersabar, dan itu baik untuknya”

 (Riwayat Muslim).

Wallahua'alam.

7.2.14

Cukup dan Memadai

Salam Palestina..

"Jangan puas terhadap sesuatu hanya kerana tak mampu, kerana takut-takut jika mampu, tidak akan puas-puas. Maka seelok dan sebolehnya, kita puas sebab dah mampu", pesan Ust Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri seusai solat bersamanya. Saya menerima nasihat tersebut dengan mata berkaca-kaca, kerana seolah-olah Allah sedang memperingatkan saya kepada sesuatu yang sering saya khuatiri.

Ya, tentu benar. Bukankah segala di langit dan di bumi itu kepunyaan Allah?

Kita adalah Hamba

Jika kita memikirkan bahawa kita adalah seorang hamba, maka pastinya kita juga punya Tuhan- untuk mengadu, meminta dan menaruh sepenuh pengharapan padaNya. Namun, adakala Tuhan sengaja mencuba dan menguji, semata-mata menginginkan untuk kita hamba bertambah mengenali-Nya.

Bagaimana?

Jika kita tidak pernah merasai peritnya kesakitan, adakah kita akan mengenali Allah sebagai Maha Menyembuh? Jika kita tidak pernah melakukan kesilapan, adakah kita akan mengenali Allah sebagai Maha Pengampun? Dan jika kita tidak pernah merasai masalah, mungkinkah kita mengenali Allah sebagai Maha Mengetahui?

Risau-risau, jika kita diberi semua semampunya, kita tidak akan mengenali erti bersyukur, tidak mengerti apa itu cukup bahkan lebih daripada itu, kita lupa bahawasanya kita adalah sekadar hamba!

Dan hamba itu tidak punya apa-apa, melainkan Tuhan itu mengurniakan padanya rahmat dan kasih sayang.

Merasa Cukup dan Memadai

Rezeki, takdir dan segala yang tersingkap di dalam rahsia dan pengetahuan Allah sudah tertulis pada tiap-tiap makhluk yang diciptakan. Maka, merasa cukup bahawa segala yang tertulis dan apa yang ada pada kita hari ini - tidak akan diambil oleh yang lain, juga kesemua rezeki yang dimiliki orang lain tidak juga mampu diambil oleh kita.

Harus diingat, jika Allah hendak memberikan kebahagiaan kepada seseorang, ianya tidak boleh ditahan oleh apa-apa tangan sekalipun. Dan jika Allah menghalang kebahagiaan kepada seseorang, ianya juga tidak boleh dihulur oleh apa-apa tangan sekalipun.

Maka, bersyukurlah dengan apa kira adanya pada kita hari ini, saat ini dan terkemudian, kerna tidaklah terlebih dan terkurang, melainkan di situ hadirnya berkat dan redha dari Tuhan. Semata-mata dari Tuhan.


Sedekah dan Pengertian Pada Hidup

Suatu ketika, saya menyelak kembali lembaran-lembaran nota pengajian bersama TG Dr Haron Din, sesudah mendengar perkhabaran akan keuzuran beliau di institut jantung negara.

Antara yang menggamit memori ketika itu ialah, pesanan beliau di akhir kuliah berbunyi, "Jika mana kita ingin keluar daripada suatu masalah atau perkara yang sulit untuk diselesaikan atas kemampuan kita, maka carilah seseorang yang benar-benar memerlukan bantuan, lalu penuhilah permintaannya, atau sampaikan sedekah padanya. Namun harus diingat, mestilah dari kalangan orang yang benar-benar memerlukan".

Pesan ini juga menjadi pesanan terakhir saya kepada teman-teman yang membaca. Semoga kita sedar bahawa bukanlah kita sahaja - berdiri kerseorangan - untuk mampu keluar daripada kemelut, detik-detik hidup, atau permasalahan yang mengkusutkan - melainkan di situ adanya Allah yang Maha Mengetahui untuk memudahkan, menyelesaikan, mencukupkan serta mengeluarkan kita daripada perkara tersebut. Malah sehingga satu saat kita sudah lupa tentang doa yang kita selalu baca agar segera keluar daripada masalah tersebut.

Dunia boleh berbuat apa-apa, tetapi mereka tidak mampu mencabar kekuasaan Allah, maka berimanlah.

Wallahua'alam..

9.1.14

Selamat Jalan :)

Salam Palestina..

Selamat jalan kepada naqib - mentor - pengkiritik tetap - sahabat, yang bakal melangsungkan pernikahan pada 10 Januari ini. Semoga-moga Allah memudahkan dan merahmati pernikahan ini. Tak sangka selama-lama perkenalan ini akhirnya wujud plot 'menarik' yang bakal membahagiakan beliau dan hmmm, saya ok.   ツ 

Rasa-rasa dia tak baca blog ini, maka selamat rasanya untuk saya mengimbau kenang-kenangan kami sebelum daripada ini. Agar ia membuahkan kebaikan di atas contoh teladan yang ditinggalkan beliau. (bukan selalu kan post macam ni).

Mengenali beliau secara rapat di sebuah program KEMARI (saya masih ingat - program persediaan ke universiti) bersama teman-teman sematrikulasi dari seluruh pelusuk Malaysia. Ketika itu beliau bertugas sebagai Ketua Fasilitator dan saya yang bermimpi masuk ke UKM ketika itu - oh ya, beliaulah orang yang paling dicari-cari.

Syukur pada Allah juga, sekurang-kurangnya sebulan sekali dari dulu hingga ke saat ni saya pasti menemui beliau sama ada di Bangi ataupun di Johor untuk membincangkan segenap perkara yang walaupun mungkin adakalanya ringan dan kosong tetapi bagi saya - ianya tetap memaknakan.

Kemudian, ini di antara kenang-kenangan kami yang saya masih simpan dengan baik sekali. 

[2010] Sejak di tahun 1, memang selalu tanya pandangan.
Semua benda nak tanya. (abaikan objek yang bersepah)

Kini beliau terus melangkah. Saya statik. Err.
[2010] Berprogram bersama di OPKIM ISIUKM - Kg Cheros Cameron Highlands.

Masjid Bayur di Maninjau. (Nota : Negeri 5 Menara)
Danau Singkarak di dalam perjalanan ke Kota Padang.

Di majlis pernikahan sahabat.

Seawal pagi di Jam Gadang - Bukittinggi. 
Lembah Anai. 

Musafir - Ranah Minang.

Segak. Maksudnya di belakang tuu.

Selepas pengumuman walimatul urus. (saja-saja)


Oh rasanya tak semudah berlalu pergi tanpa menyampaikan pesan padanya.

"Di tangan Rasulullah SAW, ‘Aisyah bukan hanya seorang isteri. Rasulullah saw telah menumbuhkannya menjadi bintang di langit sejarah. Karena cinta adalah gagasan dan komitmen jiwa tentang bagaimana membuat kehidupan orang yang kita cintai menjadi lebih baik.

Jika perhatian memberikan pemahaman mendalam tentang sang kekasih, maka penumbuhan berarti melakukan tindakan-tindakan nyata untuk membantu sang kekasih bertumbuh dan berkembang menjadi lebih baik."

             -Potongan dari ucapan Anis Matta (Presiden PKS) sempena hari ibu-



Selamat jalan. Terima kasih atas tiap-tiap kebaikan yang diberikan. Selamat berbahagia abang!

Wallahua'alam..

1.1.14

Ketika 2013 Melabuhkan Tirainya

Salam Palestina..


Hakikat yang kita percaya, bahawa tiap-tiap sesuatu itu milik Allah - datang daripadaNya, berlaku dengan izinNya, lantas kembali juga kepadaNya.

Lantaran apalah yang ada pada pusingan hidup ini, melainkan seseorang mengharapkan rahmat daripadaNya.  

Saat 2013 sudah melabuhkan tirainya, dan saya kembali mengimbau kenangan, menjenguk sejenak sisa-baki penulisan di catatan lama dan juga tidak terlupa posting harapan dan cita-cita saya sebermula 2013 lalu. KLIK.

Tahun 2013 merupakan kemuncak saya mencipta dan mengumpul kenangan, pengalaman - bersama teman rapat, naqib, sahabat serumah, teman pena dan rakan seperguruan.

Sekadar mahu berkongsi antara sumber telahan dan pandangan saya pada hidup, dari hikmah bait-bait kata Prof Dr HAMKA,

"Hakikat hidup ini adalah laksana pohon yang rendang dan subur. Maka janganlah dicukupkan sehingga hanya mencintai sekuntum dari bunganya, sehelai dari daunnya, serangkai dari buahnya. Kalau hanya bunganya yang dicintai, bagaimana dengan duri pemagar bunga? Bagaimana dengan ranting tempat bunga berjuntai? Bagaimana dengan cabang tempat ranting menumpang? Bagaimana dengan dahan tempat cabang melekatkan diri? Bagaimana dengan pohon tempat berkumpul segala dahan? Bagaimana dengan urat, yang menghisap bumi mengambil sari makanan untuk pohon yang akan dibahagikan sampai ke pucuk? Bagaimana dengan  bumi tempat dia ditumbuhkan? Bagaimana dengan Sang Suria yang memberikan cahaya kepada seluruhnya?

Orang bertanya kepadaku, “Ada daun yang rontok dan ada ranting yang lapuk. Ada pula bunga yang telah gugur dari kelopak. Apakah ke sana aku mesti mencintai juga?”

Memang ada ranting yang lapuk, ada daun yang gugur, ada bunga yang telah busuk. Tetapi lupakah anda bahawasanya yang sakit itupun bahagian dari yang sihat? Dan yang sihat menjadi sihat, bukankah kerana pengorbanan dari yang sakit?"

-dipetik dari buku 'Kenang-Kenangan Hidup' karya Buya HAMKA-

:)

Mengabdikan kenang-kenangan bersama potret Buya HAMKA
di rumahnya, Maninjau, Sumatera Barat Indonesia.

Di akhir tahun 2013 itu juga, saya cuba memaknakan sisa-sisa baki perjalanan ini dengan sesuatu yang membuahkan inspirasi, penenang bagi melupakan seketika lelah-lelah yang menyesakkan nafas pada panjangnya perjalanan, dan alhamdulillah, Allah turut menyampaikan saya pada sebuah hajat yang kian lama dinanti-nanti.


Sebaik sampai di hadapan rumah TGNA.

Menyaksikan TGNA mentahnik dan muncukur jambul sejurus subuh di rumahnya.

Bergambar kenangan bersama TGNA di ruang tamu rumah beliau.
Di hadapan IPTG.



Alhamdulillah bertentang mata semasa pengisian khusus
bersamanya di IPTG.

Selamat datang 2014. Tahun ini tahun bermakna, insyaAllah. :)

Wallahua'alam..

11.12.13

Pada Kita dan Mereka

Salam Palestina..

Dalam setiap bencana, selalu ada kisah-kisah heroik mengharukan. Maka fokuslah pada hikmah kisah-kisah ini, bukan sibuk menyalahkan siapapun.

Dalam setiap peristiwa meragut banyak nyawa, selalu ada kisah kemanusiaan penuh nasihat, maka fokuslah pada kisah-kisah ini, bukan sibuk melontar komen sembarangan.

Sungguh, dalam setiap kejadian menyedihkan, selalu ada kesempatan bagi kita melakukan refleksi, memperbaiki banyak hal, maka fokuslah pada hal ini, bukan berebut komen sepertinya tahu.

Kita tidak bisa mengembalikan yang pergi.
Pun tidak bisa mereset, memutar ulang waktu.
Tapi kita selalu bisa mengenangnya.
Menyayangi dan mendoakan.
Menyantuni dan menolong.
Menjadikannya tonggak pemahaman.
Sekecil apapun itu.


Idea asal : Tere Liye.

Wallahua'alam..

29.11.13

Minggu Kesyukuran

Salam Palestina..

Alhamdulillah.

Alhamdulillah.

Tsumma alhamdulillah.

Saya masih berlelah-lelah berkemas sebaik sampai di rumah sewa pagi ini, seusai hampir seminggu di dimensi yang cukup berbeza dari kenyataan hari-hari saya sebelum daripada ini.

Esok abang saya bakal menikahi teman yang ditakdirkan hidup susah-senang bersamanya di dunia. Juga teman bersama sehingga kehidupan selama-lamanya di syurga kelak. Allahumma amin.

Sebelum Jumaat tadi, satu-satunya kakak saya yang kini hamil menjengah 9 bulan 7 hari, menghubungi saya dari hospital lantas meminta masa untuk berkongsi detik-detik akhir untuk bersalin. Katanya, bersalin melalui pembedahan adalah kemungkinan besar, kerana air ketuban menurut doktor, semakin berkurangan dan menyukarkan bayi yang semakin songsang dari kedudukan yang sepatutnya.

Saya yang masih dalam pelajaran mengenai hal sedemikian, berkerut-kerut gelisah, lantas berusaha semampunya dengan berkat Jumaat - berdoa semoga Allah memudahkan urusan ibu dan bayi - tambah-tambah itulah satunya kakak yang sering berkongsi cerita sesama kami sementara hanya kami berdua sahaja di Kuala Lumpur berbanding adik-beradik yang lain, dan itulah juga anak buah pertama saya yang sekian lama dinanti-nanti.

Sebaik selesai solat Jumaat, tiba-tiba mendapat panggilan dari emak, sempat bergurau sebelum memaklumkan bahawa beliau sudah menjadi nenek, bermakna juga saya sudah bergelar seorang pakcik kepada bayi perempuan yang bakal menjadi kegembiraan kami mudah-mudahan sehingga masa mendatang.

*****

Tiap-tiap nikmat, kebaikan, manfaat, keburukan, ujian dan mudharat, semuanya datang dari Allah. Itulah iman dan iktikad kita. Kita mampu merancang dan hasilnya kita kembalikan kepada kudrat dan iradat Allah. 

Jadilah hamba Allah yang bersyukur. Infiru !


"Jiwa mereka yang hangat cintanya mencari akhirat. Laksana anak-anak akhirat...melihat dunia dari jendela akhirat"

Wallahua'alam..

17.11.13

Momentum - Perjalanan

Salam Mukhtamar..

Sempena cuti 1 Muharam yang sudah, saya membawa diri dan beberapa teman ke Hulu Langat dan kemudiannya ke Bukit Ampang - sambil bersama merefleksi, merenung dan mengimbas kembali perjalanan setahun lalu akan cita-cita dan angan-angan yang senantiasa dipasak saban tahun. 

Sambil terbang jauh, saya cuba menghayati kata ini dalam-dalam,


"Jangan pernah melawan sunnatullah pada alam, sebab ia pasti mengalahkanmu. Tetapi gunakanlah sebahagiannya untuk menundukkan sebahagian yang lain, nescaya kamu akan sampai tujuan."


al-Banna

Sempat juga singgah ke puncak Sg Lui - mengimbas detik 'Badar al-Kubra' tahun-tahun yang berlalu, maka tidak salah di sinilah titik-tolak kepada diri yang benar-benar mahu mengartikan dirinya semata-mata kepada Tuhannya.

Tersedu-sedu. 

Saya gagal wahai Tuhan.

**********

Semalam ketika di Ijtima' Darussyifa Peringkat Kebangsaan, menghimpunkan seluruh pelajar dan perawat dari pelusuk negara, saya duduk bersama beberapa pelajar senior yang lebih berusia dari saya hampir puluhan tahun bezanya. 

Saya meneliti, majoriti daripada mereka dalam lingkungan 60-70-an, masih kukuh dan gagah menghidupkan diri dengan zikir dan doa, menyingkirkan jauh-jauh akan rasa letih, lenguh dan keperitan di lingkungan keramaian. Mereka ini mungkin dari benarnya kata-kata Ibnu Rejab,

"Barangsiapa yang memelihara ketaatan kepada Allah di masa muda dan masa kuatnya, maka Allah akan memelihara kekuatannya di saat tua dan saat kekuatannya melemah. Ia tetap akan diberi kekuatan pendengaran, penglihatan, kemampuan berfikir dan kekuatan kekal."

"Bekalan di dunia adalah gambaran kehidupan kita di akhirat" - Dr Zulkifli M Al-Bakri

Apabila kalam Tuan Guru Dato' Dr Haron Din hampir tersekat-sekat akibat sebak ketika di penghujung ucapan penutupan, terasa sayu. Tambah apabila betapa ketika Tuan Guru mengucapkan,'saya mahu bersama-sama anda semua bukan sahaja di sini, malah mahu juga bersama-sama anda di syurga', - hadirin semuanya meleraikan air mata yang lama tertahan.

Semoga Allah menerima doamu, Tuan Guru. 

**********

Bila mengenangkan soal Tuan Guru sebagai murobbi, saya percaya sesuatu - bahawa di dalam tiap-tiap diri seseorang yang terinspirasi, wujud seseorang yang lain - menjadi lilin membara memastikan momentum terarah, semangat yang konsisten dan kekuatan ikhlas - tidak lain berdaya-upaya mencari Allah.

Ketika di asrama dulu, saya dikurniakan Allah seorang abang angkat, bertindak juga sebagai naqib - hingga kan tiap-tiap kali selepas solat waktu, memastikan saya tidak berlalu ke dewan makan, seterusnya menghafaz surah-surah terpilih dari al-Quran, pernah berjaga hingga ke pagi menjaga, berlalu hanya setelah saya terlelap akibat keperitan demam, dan hampir tiap-tiap malam bercerita kepada saya akan peringatan-peringatan, mengisi kekosongan ketika hilangnya mak ayah di asrama. 

Benar, saya yakin iltizam momentum kehidupan saya di asrama adalah lantaran dari jejak-jejak yang ditinggalkan beliau kepada saya.

Ketika di matrikulasi, walau pedih bergelut dengan rantaian senior menimpa di pertengahan, hadir kelibat seseorang menjernihkan supaya momentum, pergerakan terus tidak ketinggalan berbanding matrikulasi lain. Syukur juga setelah hampir 2 tahun tidak bertemu, di Bangsar South City itulah, kami berpelukan dan tidak menyangka dia tahu saya masih di pertengahan sarjana sains, menggamit memori lama kami yang dahulunya saya sebagai pelajar matrikulasi dan beliau sebagai pengarah JPM. Terima kasih ustaz menguatkan kami ketika susah dahulu.

Kampus menjadi model kehidupan paling menjejak sebelum kehidupan sebenar di luar. Saya yakin ramai figura hebat di sini lahir dari susuk hebat senior yang membina tanggungjawab kader dengan sesungguh-sungguhnya. Terbukti jika ditanya kenalan-kenalan yang ada, pasti mereka percaya kelahiran potensi mereka adalah di belakang individu yang lain. 

Tetapi dan hampir pasti, mereka bukanlah dari usrah yang disistemkan, tetapi dari usrah sukarela yang diwujudkan tanpa laporan, silibus berpandukan pengalaman dan realiti, hadir dari hati-hati yang bertemu ikhlas hanya kerana mereka saling menginginkan. Semata-mata dari itu. Semoga kita bukan sahaja 'dipotensikan', malah kita berupaya untuk 'mempotensikan.' 

Mari bersama membina momentum bersama watak-watak yang perlu diseleksi dalam perjalanan yang masih jauh - perjalanan mencari Tuhan.

Wallahua'alam..

30.9.13

Monolog dengan Alam

Salam Mukhtamar..

Selesai sudah minggu-minggu refleksi. Bermula dengan monolog-muhasabah dengan alam sehingga tamat dengan pertemuan bersinergi bersama pimpinan jemaah. Kesudahannya keluar dari kepompong keserabutan dengan diri yang baru. Alhamdulillah.

Travelog yang bermula dengan Penang untuk bemusafir bersama sahabat ketika di matrikulasi, Tioman bersama rakan sepengajian di UKM dan kemudiannya bersama naqib dan teman-teman PKS di Sumatera Barat, Indonesia- serasa saya begitu banyak bahasa Allah kepada saya yang langsung tidak diduga di setiap detik dan tempat.

Dan seperti doanya, jawapan Allah itu langsung diterjemahkan dalam peristiwa yang meleraikan kekusutan sedia ada- ternyata dan pasti itulah Allah Tuhan Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Moga musafir sendirian ke bumi sabdaan baginda kelak juga menjadi pelajaran yang bermanfaat kepada saya, biiznillah.

Buat yang masih dan kerap hilang punca, belajarlah sehalusnya dari alam.

***********************************************


Sejurus subuh di jambatan pertama.

Lewat petang di jambatan kedua.

Bukit Bendera.
Singgah dari Batu Feringghi.

Di tempat rahsia.

*****

Tioman sebaik tiba.







Depan chalet

As usual.
Sebahgian dari  'target'. 


Jumpa lagi.

*****

Istana Pagaruyung. Unik.

Jam Gadang.

Bersama cucu Buya Hamka, Pak Akhyar. Melewati khazanah Buya Hamka dan kajiannnya.

Ngarai Sianok. Kelihatan 'tembok besar china' ala Indonesia. 

Lembah Anai.

Padang --  Maninjau. Dingin melalui jalan bukit.

Maninjau.


Danau Singkarak.


Hampir keseluruhan perjalanan dihiasi dengan padi dan gunung-ganang.

:)

Puncak Lawang. View Maninjau. 


Danau Singkarak dari dekat.

*****

Semangat baru. Ketika bertugas di Mukhtamar Kawasan Serdang 2013.


Wallahua'alam..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...