29.3.14

Di Sebalik Tersiratnya Sebuah Hikmah

Salam Palestina..

Sesungguhnya adalah sebuah keistimewaan, apabila di sebalik tiap-tiap ketentuan Allah yang tersurat wujudnya jua sesuatu yang tersirat. Dan apa-apa yang tersirat daripada pandangan zahir seseorang manusia kerap kali disinonimkan sebagai apa yang dinamakan hikmah. Mana mungkin dari Allah itu tidak baik, kerna setiap dari kekasih (Allah) adalah yang terbaik. 

Hikmah itulah, kebanyakan menggunakan segenap perkataannya sebagai kata akhir di tiap-tiap tragedi, perisitiwa yang menyakitkan dan mereka lupa, untuk meletakkan persangkaan baik kepada Yang Maha Menentukan daripada sebuah rahsia dan kebaikan yang meniti di dalam hanya satu perkataan.

Ada sebuah peristiwa yang ingin saya kongsikan, dapatan daripada kalam Ust Don Daniyal Don Bijayid di dalam satu kuliah.

Suatu ketika, Nabi Allah Musa A.S. ketika mana sedang berbicara dengan Allah, Allah ingin mendidik Nabi Musa melalui suatu persitiwa. Allah menyeru Nabi Musa untuk pergi ke sebuah perigi dan mencari tempat berselindung di sebalik perigi tersebut. Lalu ketika mana Nabi Musa sedang berselindung, datang seorang anak muda menunggang kuda datang ke perigi tersebut untuk menghilangkan dahaga. Pemuda tersebut mempunyai seuncang emas dan apabila hendak minum air dari perigi tersebut, pemuda tersebut meletakkan uncang emas tersebut di tepi perigi tersebut supaya tidak jatuh ke dalamnya.

Apabila selesai sahaja minum, dengan izin Allah, pemuda tersebut lupa akan uncang emas yang diletakkannya di tepi perigi lantas berlalu pergi dan meninggalkan emas tersebut. Tidak lama kemudian, datang seorang pemuda penggembala kambing ke perigi tersebut. Apabila sampai sahaja penggembala tersebut di sisi perigi, beliau menemui uncang emas tersebut dan apabila mendapati tiada sesiapa yang berada di situ maka penggembala tersebut pun lantas mengambilnya dan berlalu pergi.

Nabi Musa A.S hanya memerhati atas kerana Allah mengkehendaki baginda untuk sekadar menjadi pemerhati. Tidak lama kemudian, datang seorang tua ke kawasan perigi tersebut. Selepas menghilangkan dahaga, orang tua tersebut pun berisitirehat di kawasan perigi tersebut. Sedang orang tua tersebut berehat, datang kembali pemuda yang kehilangan uncang emasnya sebentar tadi. Pemuda tersebut tidak mengesyaki sesiapa melainkan hanya orang tua tersebut yang mengambil emas tersebut sementelah hanya orang tua tersebut sahaja di situ. Lalu orang muda tersebut memukul orang tua tersebut hingga dengan izin Allah jua, orang tua itu mati setelah dipukul.

Nabi Musa A.S. yang tidak berbuat apa-apa, lantas bertanya kepada Allah akan perkara yang terjadi di  hadapan baginda. Lantas Allah menerangkan bahawa pemuda yang kehilangan uncang emas itu, ayah kepadanya telah berhutang kepada ayah si penggembala kambing yang menjumpai emas tersebut, dan SubhanaAllah, jumlah hutang tersebut menyamai jumlah yang terkandung di dalam uncang yang diambil si pemuda penggembala. Orang tua yang mati dipukul itu pula, merupakan pembunuh kepada ayah si pemuda yang kehilangan uncang emas tersebut, sekaligus membalas semula perlakuan orang tua itu kepada ayahnya.

Begitu Allah bertindak menyempurnakan sebuah keadilan di antara ketiga-tiga lelaki tersebut. Bagi kita mungkin terlalu sukar untuk menerima perkara tersebut melalui apa yang tersurat namun apabila kita mengetahui hikmah di sebalik yang tersirat, kita sedar bukanlah kita yang menjadi penentu kepada tiap-tiap yang berlaku melainkan Allah, Tuhan yang Maha Adil dan Maha Mengetahui.

“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut, kelaparan, kekurangan dari harta benda, jiwa serta hasil tanaman. dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa musibah, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali”. Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat hidayah” 

(Surah al-Baqarah 155-157).

Berita gembira pada orang yang sabar, ketika masa mereka menyebut 'innalillah', natijahnya mereka mendapat selawat dari Tuhan - berbentuk istighfar, rahmat dan hidayah - seolah-olah mereka itu sebahagia-bahagia, seberuntung-untung dari dunia dan berkelangsungan hingga ke akhirat. (petikan dari perkongsian bersama Dr Zulkifli Mohammad Al-Bakri)

Saya cukup terkesan dengan kata-kata ini, kredit kepada Ust Pahrol Mohamad Juoi, "relakanlah Tuhan mencintai kita dengan cara-Nya".



Doa wehdah kami kepada teman-teman ikhwan 529, doa keselamatan kami buat MH370.

“Sungguh mengagumkan urusan seorang mukmin, setiap urusan mukmin adalah baik baginya, hal itu tidak dimiliki oleh siapapun, kecuali oleh seorang mukmin.
Apabila mendapat kesenangan dia bersyukur, dan itu baik untuknya. Apabila mendapat kesusahan dia bersabar, dan itu baik untuknya”

 (Riwayat Muslim).

Wallahua'alam.

0 ingatan dari teman:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...