Showing posts with label Refleks. Show all posts
Showing posts with label Refleks. Show all posts

9.10.14

Esok Mungkin Tidak

Salam Palestina..

Terasa lama juga tidak menulis di sini sepeninggalan post terakhir tentang Ramadhan, Julai lalu. Namun saya ada juga berbasa-basi membaca semula artikel yang jauh berlalu, meneliti perkembangan dan perubahan isi penulisan - yakni penaksiran terhadap diri sendiri dalam fatrah menimba pengalaman.

Bermula Oktober ini genaplah 8 bulan saya menguruskan pendirian, penghayatan dan pemaknaan pada hidup secara kendiri - juga secara total. Berbeza dari kehidupan bersama teman-teman di luar universiti bermula semester dua tahun 1 di UKM hinggalah Januari lalu, kini saya telah mendaftarkan diri saya sebagai satu-satunya anggota masyarakat yang tidak berkeluarga di kawasan perumahan 100% bumiputra ini.  


Apabila saya belajar dari hari-hari yang berlalu dalam kehidupan, saya berpendirian kita kerap merungut kerana tidak diberi dan tidak mendapat itu dan ini dari seseorang, adalah juga disebabkan kerana keengganan kita memulakan pemberian perkara yang sama pada seseorang tersebut. 

Saya cukup terkesan dan turut berpegang dengan kata-kata seseorang pada saya - jangan selalu meminta itu dan ini dari Tuhan, tetapi masih tidak menghargai dan memanfaat nikmat dari Tuhan yang dikecapi di dalam hidup. Insan-insan yang diutuskan Tuhan kepada kita adalah sosok kurniaan untuk kita. Hiduplah sepenuhnya, ketawa, menangis, rindu dan sedih bersamanya - kerana esok mungkin sudah tiada.   

Di ambang berakhirnya 2014, saya kehilangan seorang lagi sahabat yang mengajarkan saya bagaimana erti memandang pada hidup. Pada ketika saya menghantar mereka untuk memulakan kehidupan berumah tangga, kali ini terpaksa juga saya memendam perasaan untuk meraikan Aidiladha bersama keluarga. Saya masih cuba memaknakan hari-hari dan saat-saat penghabisan persahabatan untuk kami saling bercerita, mengusik dan saling menenang - sepertimana warna-warni kenangan yang berlalu pada waktu-waktu sebelumnya.


"Ya Allah, apa saja nikmat yang kami dapati ini dari mana-mana makhlukMu 
maka sebenarnya dari Engkau jua.
 Tidak ada sekutu bagiMu. Puji dan kesyukuran (kami) untukMu."


Dan saya pun pasti, kita semua akan mula menghargai apa-apa yang sudah tiada walaupun ia menjadi milik kita pada sesaat sebelumnya. Kerana itu, maka hargailah seadanya.     

Wallahua'alam.

4.7.14

Ramadhan Masih Ada !

Salam Ramadhan..

Seketika bila Opick mendendangkan,

"Allah Engkau dekat, penuh kasih sayang,
Takkan pernah Engkau biarkan hambaMu menangis
Karna kemurahanMu, karna kasih-sayangMu.."

Sambil membaca, mendengar dan mengulang lagi. Saya tidak pasti mengapa, sebermula Ramadhan kini, diri terasa hanyut bahkan kaku dengan karya Opick dan lagu-lagunya, buya Hamka serta inspirasi-inspirasinya. 

Mungkinkah atas kerana inspirator itu tidaklah jauh dari bumi tempat berdiri? Seketika ia terngiang lagi ;

"DenganMu aku hidup, denganMu aku mati,
Hanyalah padaMu, hanyalah untukMu,
Hidup kan dijalani.."

Ramadhan ini cukup indah. Bak kata Nabi SAW, air mata seorang bila telah titik mengenang Tuhannya, itulah tali penghubung antara bumi dan langit.

Terpana pula mata pada bait-bait Buya Hamka pada ingatan malam seribu bulan ;

"Puasa Ramadhan lebih-lebih lagi, adalah pintu untuk memasuki suasana itu. Moga-moga entah di malam yang mana, memang terbukalah pintu langit bagi rohani kita. Ibarat kita memutar knop radio, mencari-cari satu stesen gelombang pemancar, padahal banyak gangguan, akhirnya bertemu juga; tidak kita lepas-lepaskan lagi. Sekali bertemu, jadilah, nilainya sama dengan 1000 bulan."


Asyik rasa di hati tidak sekata perasaan di mimik muka. Tidak kelihatan gembira di wajah tidak bermakna hati turut meleka. Oh, janganlah Ramadhan pergi terlalu cepat.

Di tepian lereng Langit Ramadhan.

Ramadhan bukanlah hanya untuk kita. Ramadhan adalah rahmat untuk alam. Tambah-tambah Lailatul Qadr yang dinanti-nanti itu turut menjadi saat gembira buat sekalian alam ;

'waktu itu, sujudlah segala umat semesta - kayu-kayan, rumah-rumah, gunung-ganang, air pun berhenti mengalir. Seluruh dunia diliputi oleh cahaya lain dari cahaya pelita, lain dari cahaya bulan, lain dari cahaya matahari. Pintu langit terbuka. Ketika pintu langit itu terbuka, maka sesiapa yang dikehendaki Allah akan makbul doanya, melihatlah dia dan tahulah dia bahawa saat itu telah datang.' 

Persoalan : Siapakah kita di Akhir Ramadhan?


Jika kita tidak meletakkan sasaran pada pengakhiran nanti, maka malanglah kita. Janganlah makhluk bernama Ramadhan itu pergi tanpa mengesankan kita.

Bacalah kisah-kisah dari ramai yang menulis bersama sesalan-sesalan yang tidak berguna selepas peninggalan Ramadhan yang lepas-lepas.

Baru kita tahu, bahawasanya kita masih punya Ramadhan. Untuk tidak disia-siakan, agar kita tidak menduakan. 

Itupun sekiranya kita sedar.

Wallahua'lam..

p/s : Beberapa intipati dari buku karangan Buya Hamka ; Renungan Tasawuf - Manisnya Iman.

Artikel saya yang lepas sempena Ramadhan : KLIK 1   -   KLIK  2   -   KLIK  3

16.5.14

Catatan 16 Mei - Perspektif Pada Perguruan

Salam Palestina..

 “Education is the most powerful weapon which you can use to change the world”. 
-Nelson Mandela-

Bersempena dengan hadirnya ulang-rai Hari Pendidik pada hari ini, saya yang ternyata bukan (baca : masih belum) dari kalangan semulia itu, hadir menyatakan premis saya pada hari ini bahawa - "tidak ramai lagi pada hari ini sanggup bercita-cita untuk menjadi seorang guru". 

Kenyataannya rumit.

Premis saya ini seolah-olah mempersoal hakikat kemuliaan seorang guru walaupun pada maksudnya tidak.

Biar saya nyatakan dulu. 

Pada Namanya Pendidikan

Agama memerintahkan kita untuk berilmu, dengan perintah baca. Lantas kemuliaan seorang insan yang tertaklif padanya dengan anugerah berfikir, harus padanya untuk menjalin sinergi antara baca - berfikir dan berilmu. 

Hakikat ketempangan sistem pendidikan pada hari ini ialah bukan sekadar gagal membentuk rakyat yang berfikir, malah masih ramai rakyat yang kurang membaca. Jauh lagi untuk mendabik 'yang berilmu'.

Statistik Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) membuktikan kerisauan ini, bahawa jumlah muka surat buku yang dibaca rakyat Malaysia setahun hanyalah rata- rata satu muka surat.

Laporan PISA (Program Penilaian Pelajar Antarabangsa) yang merupakan sebuah kajian yang dijalankan tiga tahun sekali oleh badan antarabangsa Organisation for Economic Cooperation and Development (OECD) yang melibatkan 510,000 murid berusia 15 tahun dari 65 buah negara dari seluruh dunia - dalam edisi terkini, Malaysia mendapat tempat ke-55 secara keseluruhan, lantas meletakkan Malaysia dalam kelompok 20 peratus tercorot daripada 65 buah negara yang dikaji. 

Lebih teruk lagi, prestasi murid kita adalah lebih rendah berbanding dengan negara jiran seperti Singapura (ke-2), Vietnam (ke-17) dan juga Thailand (ke-53).    

Dua statistik ini bukanlah suatu kesimpulan akhir terhadap hipotesis awal yang saya nyatakan sebentar tadi. 

Ia sekadar pemula.

Conflict interest antara Pedagogi Guru -Sikap Pelajar- Sangka Ibu Bapa

Pedagogi ataupun ungkapan sesuai sebagai pendekatan dalam mendidik, menjadi suatu teras dalam konseptual komunikasi antara guru dan pelajar. Ada beberapa tekaan saya sebelum ini mengenai kesilapan dalam pendidikan ialah berbalik kepada soal pedagogi ini.

Namun hampir-hampir saya tersilap dalam berhukum.

Tidak semua yang terjadi berpunca daripada guru. 

Guru di setiap rangka waktu sibuk mengalahkan kerani menyiapkan dokumentasi rekod pra dan pasca mengajar. Letih pada kerangka pengkeranian berbanding bertenaga dalam kreatif berpedagogi.

Senior kepercayaan saya di UKM yang kini seorang guru didakwa memukul bahu seorang pelajar perempuan sehingga lebam dan diakibatkan kecaman dari bapa pelajar tersebut walhal beliau tidak berbuat demikian.

Sistem hari ini memangkinkan fikiran pelajar pada orentasi peperiksaan dan menang-kalah.

Pelajar pada hari ini sekadar menjawab peperiksaan berdasarkan APA ulangan soalan dan jawapan berbanding berfikir BAGAIMANA berfikir dan menjawab. 

Tidak seperti pada apa yang diajarkan agama supaya mengejar maltlamat tertinggi dalam berilmu untuk mencari kebenaran dan setia dengan kebenaran tersebut.



Selamat Hari Guru pada Pendidik Yang Superb !

Ya, tidak ramai lagi pada hari ini sanggup bercita-cita untuk menjadi seorang guru melainkan 'yang terkecuali' itu juga bercita-cita menjadi seorang pendidik.

Apalah yang dapat dibuat dengan sikap kompleks pelajar dan ibu-bapa hari ini yang ternyata memenangkan sistem berbanding bersubahat dengan guru memperbaiki mutu pendidikan?

Menjadi seorang guru dengan sekadar menjalankan rutin dan memenuhi syarat mengajar tidak sesempurna seseorang guru berjiwa pendidik yang melaksanakan tanggungjawabnya dengan amanah tanpa syarat. 

Tanpa syarat untuk meraih elaun tambahan, tanpa syarat mengejar pujian dan bunga-hadiah dari pelajar dan ibu-bapa mereka, malah tanpa syarat untuk semata-mata mengejar status 'guru cemerlang'.

Bahkan, mendidik dengan jiwa merdeka pada Tuhannya, menyempurnakan tuntutan beragama langsung mewakili tugas nabi yang akhir-akhir ini kian dilupakan.

Dan apalah tugas yang lebih memeritkan dari tugas sosok seorang guru dari menyelamatkan kroniknya krisis rakyat yang terlanjur terkujur di balik dua statistik di atas.

Moga-moga cahaya ilmu di dada seorang guru itu membesarkan jiwanya untuk juga bergelar seorang pendidik.

Wallahua'alam..

29.3.14

Di Sebalik Tersiratnya Sebuah Hikmah

Salam Palestina..

Sesungguhnya adalah sebuah keistimewaan, apabila di sebalik tiap-tiap ketentuan Allah yang tersurat wujudnya jua sesuatu yang tersirat. Dan apa-apa yang tersirat daripada pandangan zahir seseorang manusia kerap kali disinonimkan sebagai apa yang dinamakan hikmah. Mana mungkin dari Allah itu tidak baik, kerna setiap dari kekasih (Allah) adalah yang terbaik. 

Hikmah itulah, kebanyakan menggunakan segenap perkataannya sebagai kata akhir di tiap-tiap tragedi, perisitiwa yang menyakitkan dan mereka lupa, untuk meletakkan persangkaan baik kepada Yang Maha Menentukan daripada sebuah rahsia dan kebaikan yang meniti di dalam hanya satu perkataan.

Ada sebuah peristiwa yang ingin saya kongsikan, dapatan daripada kalam Ust Don Daniyal Don Bijayid di dalam satu kuliah.

Suatu ketika, Nabi Allah Musa A.S. ketika mana sedang berbicara dengan Allah, Allah ingin mendidik Nabi Musa melalui suatu persitiwa. Allah menyeru Nabi Musa untuk pergi ke sebuah perigi dan mencari tempat berselindung di sebalik perigi tersebut. Lalu ketika mana Nabi Musa sedang berselindung, datang seorang anak muda menunggang kuda datang ke perigi tersebut untuk menghilangkan dahaga. Pemuda tersebut mempunyai seuncang emas dan apabila hendak minum air dari perigi tersebut, pemuda tersebut meletakkan uncang emas tersebut di tepi perigi tersebut supaya tidak jatuh ke dalamnya.

Apabila selesai sahaja minum, dengan izin Allah, pemuda tersebut lupa akan uncang emas yang diletakkannya di tepi perigi lantas berlalu pergi dan meninggalkan emas tersebut. Tidak lama kemudian, datang seorang pemuda penggembala kambing ke perigi tersebut. Apabila sampai sahaja penggembala tersebut di sisi perigi, beliau menemui uncang emas tersebut dan apabila mendapati tiada sesiapa yang berada di situ maka penggembala tersebut pun lantas mengambilnya dan berlalu pergi.

Nabi Musa A.S hanya memerhati atas kerana Allah mengkehendaki baginda untuk sekadar menjadi pemerhati. Tidak lama kemudian, datang seorang tua ke kawasan perigi tersebut. Selepas menghilangkan dahaga, orang tua tersebut pun berisitirehat di kawasan perigi tersebut. Sedang orang tua tersebut berehat, datang kembali pemuda yang kehilangan uncang emasnya sebentar tadi. Pemuda tersebut tidak mengesyaki sesiapa melainkan hanya orang tua tersebut yang mengambil emas tersebut sementelah hanya orang tua tersebut sahaja di situ. Lalu orang muda tersebut memukul orang tua tersebut hingga dengan izin Allah jua, orang tua itu mati setelah dipukul.

Nabi Musa A.S. yang tidak berbuat apa-apa, lantas bertanya kepada Allah akan perkara yang terjadi di  hadapan baginda. Lantas Allah menerangkan bahawa pemuda yang kehilangan uncang emas itu, ayah kepadanya telah berhutang kepada ayah si penggembala kambing yang menjumpai emas tersebut, dan SubhanaAllah, jumlah hutang tersebut menyamai jumlah yang terkandung di dalam uncang yang diambil si pemuda penggembala. Orang tua yang mati dipukul itu pula, merupakan pembunuh kepada ayah si pemuda yang kehilangan uncang emas tersebut, sekaligus membalas semula perlakuan orang tua itu kepada ayahnya.

Begitu Allah bertindak menyempurnakan sebuah keadilan di antara ketiga-tiga lelaki tersebut. Bagi kita mungkin terlalu sukar untuk menerima perkara tersebut melalui apa yang tersurat namun apabila kita mengetahui hikmah di sebalik yang tersirat, kita sedar bukanlah kita yang menjadi penentu kepada tiap-tiap yang berlaku melainkan Allah, Tuhan yang Maha Adil dan Maha Mengetahui.

“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut, kelaparan, kekurangan dari harta benda, jiwa serta hasil tanaman. dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa musibah, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali”. Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat hidayah” 

(Surah al-Baqarah 155-157).

Berita gembira pada orang yang sabar, ketika masa mereka menyebut 'innalillah', natijahnya mereka mendapat selawat dari Tuhan - berbentuk istighfar, rahmat dan hidayah - seolah-olah mereka itu sebahagia-bahagia, seberuntung-untung dari dunia dan berkelangsungan hingga ke akhirat. (petikan dari perkongsian bersama Dr Zulkifli Mohammad Al-Bakri)

Saya cukup terkesan dengan kata-kata ini, kredit kepada Ust Pahrol Mohamad Juoi, "relakanlah Tuhan mencintai kita dengan cara-Nya".



Doa wehdah kami kepada teman-teman ikhwan 529, doa keselamatan kami buat MH370.

“Sungguh mengagumkan urusan seorang mukmin, setiap urusan mukmin adalah baik baginya, hal itu tidak dimiliki oleh siapapun, kecuali oleh seorang mukmin.
Apabila mendapat kesenangan dia bersyukur, dan itu baik untuknya. Apabila mendapat kesusahan dia bersabar, dan itu baik untuknya”

 (Riwayat Muslim).

Wallahua'alam.

7.2.14

Cukup dan Memadai

Salam Palestina..

"Jangan puas terhadap sesuatu hanya kerana tak mampu, kerana takut-takut jika mampu, tidak akan puas-puas. Maka seelok dan sebolehnya, kita puas sebab dah mampu", pesan Ust Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri seusai solat bersamanya. Saya menerima nasihat tersebut dengan mata berkaca-kaca, kerana seolah-olah Allah sedang memperingatkan saya kepada sesuatu yang sering saya khuatiri.

Ya, tentu benar. Bukankah segala di langit dan di bumi itu kepunyaan Allah?

Kita adalah Hamba

Jika kita memikirkan bahawa kita adalah seorang hamba, maka pastinya kita juga punya Tuhan- untuk mengadu, meminta dan menaruh sepenuh pengharapan padaNya. Namun, adakala Tuhan sengaja mencuba dan menguji, semata-mata menginginkan untuk kita hamba bertambah mengenali-Nya.

Bagaimana?

Jika kita tidak pernah merasai peritnya kesakitan, adakah kita akan mengenali Allah sebagai Maha Menyembuh? Jika kita tidak pernah melakukan kesilapan, adakah kita akan mengenali Allah sebagai Maha Pengampun? Dan jika kita tidak pernah merasai masalah, mungkinkah kita mengenali Allah sebagai Maha Mengetahui?

Risau-risau, jika kita diberi semua semampunya, kita tidak akan mengenali erti bersyukur, tidak mengerti apa itu cukup bahkan lebih daripada itu, kita lupa bahawasanya kita adalah sekadar hamba!

Dan hamba itu tidak punya apa-apa, melainkan Tuhan itu mengurniakan padanya rahmat dan kasih sayang.

Merasa Cukup dan Memadai

Rezeki, takdir dan segala yang tersingkap di dalam rahsia dan pengetahuan Allah sudah tertulis pada tiap-tiap makhluk yang diciptakan. Maka, merasa cukup bahawa segala yang tertulis dan apa yang ada pada kita hari ini - tidak akan diambil oleh yang lain, juga kesemua rezeki yang dimiliki orang lain tidak juga mampu diambil oleh kita.

Harus diingat, jika Allah hendak memberikan kebahagiaan kepada seseorang, ianya tidak boleh ditahan oleh apa-apa tangan sekalipun. Dan jika Allah menghalang kebahagiaan kepada seseorang, ianya juga tidak boleh dihulur oleh apa-apa tangan sekalipun.

Maka, bersyukurlah dengan apa kira adanya pada kita hari ini, saat ini dan terkemudian, kerna tidaklah terlebih dan terkurang, melainkan di situ hadirnya berkat dan redha dari Tuhan. Semata-mata dari Tuhan.


Sedekah dan Pengertian Pada Hidup

Suatu ketika, saya menyelak kembali lembaran-lembaran nota pengajian bersama TG Dr Haron Din, sesudah mendengar perkhabaran akan keuzuran beliau di institut jantung negara.

Antara yang menggamit memori ketika itu ialah, pesanan beliau di akhir kuliah berbunyi, "Jika mana kita ingin keluar daripada suatu masalah atau perkara yang sulit untuk diselesaikan atas kemampuan kita, maka carilah seseorang yang benar-benar memerlukan bantuan, lalu penuhilah permintaannya, atau sampaikan sedekah padanya. Namun harus diingat, mestilah dari kalangan orang yang benar-benar memerlukan".

Pesan ini juga menjadi pesanan terakhir saya kepada teman-teman yang membaca. Semoga kita sedar bahawa bukanlah kita sahaja - berdiri kerseorangan - untuk mampu keluar daripada kemelut, detik-detik hidup, atau permasalahan yang mengkusutkan - melainkan di situ adanya Allah yang Maha Mengetahui untuk memudahkan, menyelesaikan, mencukupkan serta mengeluarkan kita daripada perkara tersebut. Malah sehingga satu saat kita sudah lupa tentang doa yang kita selalu baca agar segera keluar daripada masalah tersebut.

Dunia boleh berbuat apa-apa, tetapi mereka tidak mampu mencabar kekuasaan Allah, maka berimanlah.

Wallahua'alam..

9.1.14

Selamat Jalan :)

Salam Palestina..

Selamat jalan kepada naqib - mentor - pengkiritik tetap - sahabat, yang bakal melangsungkan pernikahan pada 10 Januari ini. Semoga-moga Allah memudahkan dan merahmati pernikahan ini. Tak sangka selama-lama perkenalan ini akhirnya wujud plot 'menarik' yang bakal membahagiakan beliau dan hmmm, saya ok.   ツ 

Rasa-rasa dia tak baca blog ini, maka selamat rasanya untuk saya mengimbau kenang-kenangan kami sebelum daripada ini. Agar ia membuahkan kebaikan di atas contoh teladan yang ditinggalkan beliau. (bukan selalu kan post macam ni).

Mengenali beliau secara rapat di sebuah program KEMARI (saya masih ingat - program persediaan ke universiti) bersama teman-teman sematrikulasi dari seluruh pelusuk Malaysia. Ketika itu beliau bertugas sebagai Ketua Fasilitator dan saya yang bermimpi masuk ke UKM ketika itu - oh ya, beliaulah orang yang paling dicari-cari.

Syukur pada Allah juga, sekurang-kurangnya sebulan sekali dari dulu hingga ke saat ni saya pasti menemui beliau sama ada di Bangi ataupun di Johor untuk membincangkan segenap perkara yang walaupun mungkin adakalanya ringan dan kosong tetapi bagi saya - ianya tetap memaknakan.

Kemudian, ini di antara kenang-kenangan kami yang saya masih simpan dengan baik sekali. 

[2010] Sejak di tahun 1, memang selalu tanya pandangan.
Semua benda nak tanya. (abaikan objek yang bersepah)

Kini beliau terus melangkah. Saya statik. Err.
[2010] Berprogram bersama di OPKIM ISIUKM - Kg Cheros Cameron Highlands.

Masjid Bayur di Maninjau. (Nota : Negeri 5 Menara)
Danau Singkarak di dalam perjalanan ke Kota Padang.

Di majlis pernikahan sahabat.

Seawal pagi di Jam Gadang - Bukittinggi. 
Lembah Anai. 

Musafir - Ranah Minang.

Segak. Maksudnya di belakang tuu.

Selepas pengumuman walimatul urus. (saja-saja)


Oh rasanya tak semudah berlalu pergi tanpa menyampaikan pesan padanya.

"Di tangan Rasulullah SAW, ‘Aisyah bukan hanya seorang isteri. Rasulullah saw telah menumbuhkannya menjadi bintang di langit sejarah. Karena cinta adalah gagasan dan komitmen jiwa tentang bagaimana membuat kehidupan orang yang kita cintai menjadi lebih baik.

Jika perhatian memberikan pemahaman mendalam tentang sang kekasih, maka penumbuhan berarti melakukan tindakan-tindakan nyata untuk membantu sang kekasih bertumbuh dan berkembang menjadi lebih baik."

             -Potongan dari ucapan Anis Matta (Presiden PKS) sempena hari ibu-



Selamat jalan. Terima kasih atas tiap-tiap kebaikan yang diberikan. Selamat berbahagia abang!

Wallahua'alam..

1.1.14

Ketika 2013 Melabuhkan Tirainya

Salam Palestina..


Hakikat yang kita percaya, bahawa tiap-tiap sesuatu itu milik Allah - datang daripadaNya, berlaku dengan izinNya, lantas kembali juga kepadaNya.

Lantaran apalah yang ada pada pusingan hidup ini, melainkan seseorang mengharapkan rahmat daripadaNya.  

Saat 2013 sudah melabuhkan tirainya, dan saya kembali mengimbau kenangan, menjenguk sejenak sisa-baki penulisan di catatan lama dan juga tidak terlupa posting harapan dan cita-cita saya sebermula 2013 lalu. KLIK.

Tahun 2013 merupakan kemuncak saya mencipta dan mengumpul kenangan, pengalaman - bersama teman rapat, naqib, sahabat serumah, teman pena dan rakan seperguruan.

Sekadar mahu berkongsi antara sumber telahan dan pandangan saya pada hidup, dari hikmah bait-bait kata Prof Dr HAMKA,

"Hakikat hidup ini adalah laksana pohon yang rendang dan subur. Maka janganlah dicukupkan sehingga hanya mencintai sekuntum dari bunganya, sehelai dari daunnya, serangkai dari buahnya. Kalau hanya bunganya yang dicintai, bagaimana dengan duri pemagar bunga? Bagaimana dengan ranting tempat bunga berjuntai? Bagaimana dengan cabang tempat ranting menumpang? Bagaimana dengan dahan tempat cabang melekatkan diri? Bagaimana dengan pohon tempat berkumpul segala dahan? Bagaimana dengan urat, yang menghisap bumi mengambil sari makanan untuk pohon yang akan dibahagikan sampai ke pucuk? Bagaimana dengan  bumi tempat dia ditumbuhkan? Bagaimana dengan Sang Suria yang memberikan cahaya kepada seluruhnya?

Orang bertanya kepadaku, “Ada daun yang rontok dan ada ranting yang lapuk. Ada pula bunga yang telah gugur dari kelopak. Apakah ke sana aku mesti mencintai juga?”

Memang ada ranting yang lapuk, ada daun yang gugur, ada bunga yang telah busuk. Tetapi lupakah anda bahawasanya yang sakit itupun bahagian dari yang sihat? Dan yang sihat menjadi sihat, bukankah kerana pengorbanan dari yang sakit?"

-dipetik dari buku 'Kenang-Kenangan Hidup' karya Buya HAMKA-

:)

Mengabdikan kenang-kenangan bersama potret Buya HAMKA
di rumahnya, Maninjau, Sumatera Barat Indonesia.

Di akhir tahun 2013 itu juga, saya cuba memaknakan sisa-sisa baki perjalanan ini dengan sesuatu yang membuahkan inspirasi, penenang bagi melupakan seketika lelah-lelah yang menyesakkan nafas pada panjangnya perjalanan, dan alhamdulillah, Allah turut menyampaikan saya pada sebuah hajat yang kian lama dinanti-nanti.


Sebaik sampai di hadapan rumah TGNA.

Menyaksikan TGNA mentahnik dan muncukur jambul sejurus subuh di rumahnya.

Bergambar kenangan bersama TGNA di ruang tamu rumah beliau.
Di hadapan IPTG.



Alhamdulillah bertentang mata semasa pengisian khusus
bersamanya di IPTG.

Selamat datang 2014. Tahun ini tahun bermakna, insyaAllah. :)

Wallahua'alam..

11.12.13

Pada Kita dan Mereka

Salam Palestina..

Dalam setiap bencana, selalu ada kisah-kisah heroik mengharukan. Maka fokuslah pada hikmah kisah-kisah ini, bukan sibuk menyalahkan siapapun.

Dalam setiap peristiwa meragut banyak nyawa, selalu ada kisah kemanusiaan penuh nasihat, maka fokuslah pada kisah-kisah ini, bukan sibuk melontar komen sembarangan.

Sungguh, dalam setiap kejadian menyedihkan, selalu ada kesempatan bagi kita melakukan refleksi, memperbaiki banyak hal, maka fokuslah pada hal ini, bukan berebut komen sepertinya tahu.

Kita tidak bisa mengembalikan yang pergi.
Pun tidak bisa mereset, memutar ulang waktu.
Tapi kita selalu bisa mengenangnya.
Menyayangi dan mendoakan.
Menyantuni dan menolong.
Menjadikannya tonggak pemahaman.
Sekecil apapun itu.


Idea asal : Tere Liye.

Wallahua'alam..

29.11.13

Minggu Kesyukuran

Salam Palestina..

Alhamdulillah.

Alhamdulillah.

Tsumma alhamdulillah.

Saya masih berlelah-lelah berkemas sebaik sampai di rumah sewa pagi ini, seusai hampir seminggu di dimensi yang cukup berbeza dari kenyataan hari-hari saya sebelum daripada ini.

Esok abang saya bakal menikahi teman yang ditakdirkan hidup susah-senang bersamanya di dunia. Juga teman bersama sehingga kehidupan selama-lamanya di syurga kelak. Allahumma amin.

Sebelum Jumaat tadi, satu-satunya kakak saya yang kini hamil menjengah 9 bulan 7 hari, menghubungi saya dari hospital lantas meminta masa untuk berkongsi detik-detik akhir untuk bersalin. Katanya, bersalin melalui pembedahan adalah kemungkinan besar, kerana air ketuban menurut doktor, semakin berkurangan dan menyukarkan bayi yang semakin songsang dari kedudukan yang sepatutnya.

Saya yang masih dalam pelajaran mengenai hal sedemikian, berkerut-kerut gelisah, lantas berusaha semampunya dengan berkat Jumaat - berdoa semoga Allah memudahkan urusan ibu dan bayi - tambah-tambah itulah satunya kakak yang sering berkongsi cerita sesama kami sementara hanya kami berdua sahaja di Kuala Lumpur berbanding adik-beradik yang lain, dan itulah juga anak buah pertama saya yang sekian lama dinanti-nanti.

Sebaik selesai solat Jumaat, tiba-tiba mendapat panggilan dari emak, sempat bergurau sebelum memaklumkan bahawa beliau sudah menjadi nenek, bermakna juga saya sudah bergelar seorang pakcik kepada bayi perempuan yang bakal menjadi kegembiraan kami mudah-mudahan sehingga masa mendatang.

*****

Tiap-tiap nikmat, kebaikan, manfaat, keburukan, ujian dan mudharat, semuanya datang dari Allah. Itulah iman dan iktikad kita. Kita mampu merancang dan hasilnya kita kembalikan kepada kudrat dan iradat Allah. 

Jadilah hamba Allah yang bersyukur. Infiru !


"Jiwa mereka yang hangat cintanya mencari akhirat. Laksana anak-anak akhirat...melihat dunia dari jendela akhirat"

Wallahua'alam..

17.11.13

Momentum - Perjalanan

Salam Mukhtamar..

Sempena cuti 1 Muharam yang sudah, saya membawa diri dan beberapa teman ke Hulu Langat dan kemudiannya ke Bukit Ampang - sambil bersama merefleksi, merenung dan mengimbas kembali perjalanan setahun lalu akan cita-cita dan angan-angan yang senantiasa dipasak saban tahun. 

Sambil terbang jauh, saya cuba menghayati kata ini dalam-dalam,


"Jangan pernah melawan sunnatullah pada alam, sebab ia pasti mengalahkanmu. Tetapi gunakanlah sebahagiannya untuk menundukkan sebahagian yang lain, nescaya kamu akan sampai tujuan."


al-Banna

Sempat juga singgah ke puncak Sg Lui - mengimbas detik 'Badar al-Kubra' tahun-tahun yang berlalu, maka tidak salah di sinilah titik-tolak kepada diri yang benar-benar mahu mengartikan dirinya semata-mata kepada Tuhannya.

Tersedu-sedu. 

Saya gagal wahai Tuhan.

**********

Semalam ketika di Ijtima' Darussyifa Peringkat Kebangsaan, menghimpunkan seluruh pelajar dan perawat dari pelusuk negara, saya duduk bersama beberapa pelajar senior yang lebih berusia dari saya hampir puluhan tahun bezanya. 

Saya meneliti, majoriti daripada mereka dalam lingkungan 60-70-an, masih kukuh dan gagah menghidupkan diri dengan zikir dan doa, menyingkirkan jauh-jauh akan rasa letih, lenguh dan keperitan di lingkungan keramaian. Mereka ini mungkin dari benarnya kata-kata Ibnu Rejab,

"Barangsiapa yang memelihara ketaatan kepada Allah di masa muda dan masa kuatnya, maka Allah akan memelihara kekuatannya di saat tua dan saat kekuatannya melemah. Ia tetap akan diberi kekuatan pendengaran, penglihatan, kemampuan berfikir dan kekuatan kekal."

"Bekalan di dunia adalah gambaran kehidupan kita di akhirat" - Dr Zulkifli M Al-Bakri

Apabila kalam Tuan Guru Dato' Dr Haron Din hampir tersekat-sekat akibat sebak ketika di penghujung ucapan penutupan, terasa sayu. Tambah apabila betapa ketika Tuan Guru mengucapkan,'saya mahu bersama-sama anda semua bukan sahaja di sini, malah mahu juga bersama-sama anda di syurga', - hadirin semuanya meleraikan air mata yang lama tertahan.

Semoga Allah menerima doamu, Tuan Guru. 

**********

Bila mengenangkan soal Tuan Guru sebagai murobbi, saya percaya sesuatu - bahawa di dalam tiap-tiap diri seseorang yang terinspirasi, wujud seseorang yang lain - menjadi lilin membara memastikan momentum terarah, semangat yang konsisten dan kekuatan ikhlas - tidak lain berdaya-upaya mencari Allah.

Ketika di asrama dulu, saya dikurniakan Allah seorang abang angkat, bertindak juga sebagai naqib - hingga kan tiap-tiap kali selepas solat waktu, memastikan saya tidak berlalu ke dewan makan, seterusnya menghafaz surah-surah terpilih dari al-Quran, pernah berjaga hingga ke pagi menjaga, berlalu hanya setelah saya terlelap akibat keperitan demam, dan hampir tiap-tiap malam bercerita kepada saya akan peringatan-peringatan, mengisi kekosongan ketika hilangnya mak ayah di asrama. 

Benar, saya yakin iltizam momentum kehidupan saya di asrama adalah lantaran dari jejak-jejak yang ditinggalkan beliau kepada saya.

Ketika di matrikulasi, walau pedih bergelut dengan rantaian senior menimpa di pertengahan, hadir kelibat seseorang menjernihkan supaya momentum, pergerakan terus tidak ketinggalan berbanding matrikulasi lain. Syukur juga setelah hampir 2 tahun tidak bertemu, di Bangsar South City itulah, kami berpelukan dan tidak menyangka dia tahu saya masih di pertengahan sarjana sains, menggamit memori lama kami yang dahulunya saya sebagai pelajar matrikulasi dan beliau sebagai pengarah JPM. Terima kasih ustaz menguatkan kami ketika susah dahulu.

Kampus menjadi model kehidupan paling menjejak sebelum kehidupan sebenar di luar. Saya yakin ramai figura hebat di sini lahir dari susuk hebat senior yang membina tanggungjawab kader dengan sesungguh-sungguhnya. Terbukti jika ditanya kenalan-kenalan yang ada, pasti mereka percaya kelahiran potensi mereka adalah di belakang individu yang lain. 

Tetapi dan hampir pasti, mereka bukanlah dari usrah yang disistemkan, tetapi dari usrah sukarela yang diwujudkan tanpa laporan, silibus berpandukan pengalaman dan realiti, hadir dari hati-hati yang bertemu ikhlas hanya kerana mereka saling menginginkan. Semata-mata dari itu. Semoga kita bukan sahaja 'dipotensikan', malah kita berupaya untuk 'mempotensikan.' 

Mari bersama membina momentum bersama watak-watak yang perlu diseleksi dalam perjalanan yang masih jauh - perjalanan mencari Tuhan.

Wallahua'alam..

28.6.13

Sebenarnya Saya Anak Murid Dia

Salam Palestina..

Kurang lebih bila dikira-kira, saya bukanlah jenis yang cepat mengagumi orang, apatah lagi watak terlahir dari seorang perempuan. Selepas emak, selama-lama tempoh hidup ini akhirnya saya berjumpa juga. Sebab itu saya bangga untuk menyebut, sebenarnya saya anak murid dia.

Saya suka gambar ini walau mata tertutup~ 

Apa istimewanya wanita ini?

Terlalu istimewa, pengenalan saya dengannya tidaklah terlalu lama, namun tempoh setahun itu cukup memaknakan. 

Mana tidaknya, saya tidak rasa kosong walau tidak ditarbiyyah seperti di kampus dulu. Pertemuan dengannya bukan hanya berbicara tentang perihal projek master, juga terselit bicara ketuhanan dan kehambaan. Selalu.

Bila berjumpa dengannya, bebelan dan rintihannya membuatkan diri teringat emak di kampung. 

Bila berjumpa dengannya, selalu saja maaf dipinta di bibirnya. Takut kekasarannya bila berdialek utara menyakiti hati yang mendengarnya.

Dia wanita yang cukup kuat. Seingat saya pernah dia berseorangan dengan anaknya yang masih kecil di Florida,  Amerika menyelesaikan projek master. Tanpa suami di sisi, berdiri sama kuat dengan penyelidik dari serata dunia. 

Dia selalu meminta untuk saya berdoa kepadanya, adakala semata-mata soalan itu keluar bila bertemu dengannya. Selalu saya jawab, "Konfemlah Dr, saya anak murid Dr kot". Kedua-duanya tersenyum. (teringat).

Bermain di dalam penyelidikan  sains sangat memerlukan metod, teori yang dibuktikan dan rujukan yang tepat. Ianya tidak subjektif. Keputusannya ditentukan instrumentasi yang persis. Wanita ini mengingatkan saya untuk bertauhid walaupun bereksperimen.

Selalu memesan saya, adakalanya yang buruk di mata kita itu mungkin amalannya diterima Allah berbanding kita yang mungkin baik di mata orang lain. Keikhlasan itu sentiasa dekat dengan dirinya walaupun  iyalah, teorinya berlegar-legar di setiap peringatan kita. 

Saya dedikasikan penulisan ini terutama untuk mengingatkan kita semua, walau kita lemah, tidak kuat, keterbatasan namun percayalah Allah akan menghantar seseorang untuk menguatkan kita sekiranya doa kita selalu ke arah itu.

nota kaki : Guru yang dimaksudkan di dalam artikel ini ialah Dr Halimah Bt Muhamad, Ketua Unit Analitikal dan Pembangunan Kualiti, Kimia dan Industri di Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), juga merupakan penyelia utama projek master kepada penulis. Sama-sama doakan penulis dapat terus melangsungkan projek phD di bawah penyelia yang sama. Ameen :) :) :)

Wallahua'alam..

9.11.12

Agar Kau Menjadi Isteri Yang Berjaya

Salam Palestina..

Saya dedikasikan segenap maksud, intipati penulisan ini baik yang tersurat dan tersirat buat kakak, yang kini menggalas amanah sebagai seorang isteri -agar engkau menjadi seorang isteri yang berjaya.

"Jika seorang perempuan solat 5 waktu, puasa di bulan Ramadhan, menjaga kehormatannya, mentaati suaminya, maka akan dikatakan kepadanya; 'Masuklah engkau ke syurga dari pintu mana saja yang engkau inginkan'"

-Sahih Jami' Al-Kabir- 

Atas sabdaan nabi kita yang mulia itu, ku doakan kakak berjaya jalani taklif sebagai sang isteri dengan baik, menjadi sebab dirimu dan suamimu ke syurga bersama kemudiannya. Berjalanlah dengan suamimu pada jalan kebahagiaan dengan tenang, yakni penuh dengan limpahan sakinah wa mawaddah. Moga turut memenuhi sabdaan baginda yang berbunyi,

"Agar salah satu dari kalian mengambil hati yang bersyukur, lidah yang berzikir dan isteri yang membantu kalian dalam urusan akhirat"

-Riwayat Muslim-

Aku sebagai seorang saudara lelaki yang turut dipertanggungjawab atas segala yang terlaku di atasmu sebelum ini, kudoakan agar suamimu mentaklifkan dirinya dalam hal-ehwal hidup bersamamu kelak dengan memahami makud dan penghayatan qawwamah, menjanjikan atas segala ikrar ketika lafaz nikah dan menjadikan dirimu sebaik-baik teman dan sebaik-baik sahabat -hingga ke akhirnya.

Atas segala kekurangannya, maka sempurnakanlah. Atas segala kelebihan maka manfaatkanlah. Bersyukurlah. Bahkan nabi juga mengingatkan bahawa, tidak bersyukur kepada Allah orang yang tidak bersyukur kepada manusia. 


Selamat Menjalani Khidupan Berumahtangga buat Abang Amin dan Kakak, yahooo !

Wallahua'alam..

7.10.12

Penenang, Belahan Jiwa

Salam Palestina..

Beberapa ketika sebelum melelapkan mata, sempat saya menjenguk dua peneman baru saya, Cheto dan Jaguar- dua ekor kucing hadiah pemberian seseorang lewat tengahari tadi. Terima kasih padaMu Ya Allah, mengizinkan untuk kami sekeluarga melewati hari-hari kemudian kami dengan kehadiran makhlukMu ini.

Critera kenangan:

Cheto & Jaguar masih kecil, dalam lingkungan 3 bulan dan masih minum susu. Masih perlukan vitamin dan tak makan nasi ikan (makan whiskas je). Teringat pada Tiger yang mati digilis tempoh hari, harap tak berulang pada mereka berdua ini.  Oleh sebab itu saya simpan mereka dalam sangkar bila ada kereta nak keluar supaya perkara yang sama tak berulang. Harap juga Allah jaga mereka.

Si Jaguar nakal sikit, bila awal-awal naik kereta masa ambil dulu dialah yang paling bising mengiau takut, tapi dia jugalah yang senang adapt dengan persekitaran di belakang rumah. Si Cheto lebih memilih untuk diam awalnya, tapi hinggalah sekarang. Mungkin masih jual mahal ataupun berniat menguji kesabaran tuan barunya. Cheto, jangan kau persoalkan siapa di hatiku, terukir di bintang tak mungkin hilang cintaku padamu. ( nasib baik kucing~).

Mungkin kucing betina lebih lambat menyesuaikan keadaan berbanding kucing jantan. Jaguar sebagai kucing jantan, tidak memerlukan masa yang lama untuk menyesuaikan diri dengan saya. Hanya dengan umpan ikan bilis dia sudah melompat-lompat bahagia di kaki saya. Cheto pula menyorok di balik mesin basuh, mungkin dia perlukan sedikit masa. Saya harap Jaguar akan menenangkan dia supaya percaya pada saya selepas daripada ini. Selamat malam untuk Cheto, Jaguar. 

Berharap pagi esok masih ada untuk saya bersama mereka, adakalanya kita lupa mencari kesemua jalan yang mampu membawa kita kesyurga, termasuklah berbakti pada makhluk Allah yang satu ini. :)

Wahai Tuhan, izinkan kiranya mereka ini menjadi sumber untuk aku memperoleh pahala dariMu, juga menjadi sebab bertambahnya kasihnya aku padaMu Tuhan. Moga-moga ada saham akhirat dari  mereka untukku.

Wallahua'alam..

12.9.12

Berharap Kekal Setia

Salam Palestina..   


"Malam itu bagaikan sebuah pameran Rabbani yang amat hebat. Umpama majlis kerohanian yang menakjubkan. Sultan Yang Azali dan Abadi bagi lapan belas ribu alam sedang menjemput rakyatnya masuk ke balairong serinya tanpa apa-apa tabir. Yang ada hanyalah layanan istimewa untuk semua, terlalu istimewa."

 (Badiuzzaman Said Nursi)

Terima  kasih Tuhan, atas sentuhan dan anugerah yang cukup teristimewa. Maaf atas alpa dan cuai kami, menyambutnya tanpa manfaatkan selayaknya. Rayu kami, moga-moga masih ada Ramadhan untuk kami akan datang, di samping terus memimpin kami setia dengan janji Ramadhan untuk bulan-bulan seterusnya.


Buatmu Ramadhan, moga Allah sentiasa mengekalkanmu untuk kami pada tahun seterusnya. Sungguh kami berharap untuk terus setia dengan segala amalan, kesungguhan dan keasyikan dalam langit Ramadhan.


p/s : Post ini rupanya lupa dipublish, namun dipost juga sbb masih dalam mood puasa-6~

Wallahua'alam.

22.7.12

Madrasah dari Langit

Salam Palestina..                                                                                                                                          
Rasa yang berbeza. Syukur Allah masih dengar, di saat hamba lain yang taat tidak dapat sampai pada madrasah ini, namun si pendosa ini masih diberi ruang untuk menebus diri. Apalah jahilnya jika masa yang singkat ini tidak punya manfaat. 

Ramadhan, janganlah pergi tanpa siapa kami di sisi Tuhan kami.
                                                                                                                                                                               


Ramadhan : Inilah madrasah dari Langit

"Men are born ignorant, not stupid. They are made stupid by education" 
Bertrand Russell (1903-1959)

Menyebut madrasah dari langit tidak memaksudkan saya mengenepikan iktikad Tuhan tidak bertempat, namun ianya sekadar satu perumpamaan bahawa Ramadhan adalah hadiah dari Allah,sebagai ruang khas untuk kita sama kembali kepada fitrah.  

Dan saya pernah terdengar, saat Allah ingin kebaikan kepada hambaNya sebelum ia mati, pantas Allah kirimkan malaikat untuk mendidiknya taat dan kembali kepada fitrah hidup bertuhan. Dalam kisah Ramadhan, keadaanya sama, namun kali ini Allah kurniakan kita secara langsung ruangnya.Percayalah, Allah tak rugi dengan cara kita, namun kitalah yang menanggung akibatnya kemudian.

Saya cuba mengaitkan dengan perumpamaan falsafah Bertrand Russell, soalnya kita tidak dilahirkan bodoh, cuma dilahirkan dalam keadaan belum tahu. Namun kita kemudiannya dibodohkan oleh pendidikan. Ia bukan dalam aspek keupayaan seseorang dalam ilmu, namun konsensusnya berbalik kepada sistem pendidikan dan pemilihan madrasah. 

Dalam hal ehwal Ramadhan, ia adalah madrasah yang punya sistem nilai di dalamnya, penuh dengan manfaat dan peluang pembaikan diri. Bahkan ketika bersyukur semasa berbuka sekalipun, Imam Ghazali menyarankan supaya memuhasabah seharian puasa kita, sama ada sempurna ataupun sebaliknya. Bila direnung, alangkah ruginya jika kita tidak menghargai madrasah ini, lebih teruk lagi salah dalam memilih madrasah. 

Amalan yang untungkan diri kita + rugikan orang lain   : zalim
Amalan yang rugikan diri kita + untungkan orang lain   : kurang cerdik
Amalan yang untungkan diri kita + untungkan orang lain : amal soleh

"Jadilah hamba Allah, bukan hamba Ramadhan"
Yusuf Qaradhawi

Pesan kepada diri, jangan bunuh Ramadhan bila datangnya Syawal.                                                                                                      
Wallahua'alam..

7.6.12

Tidak Ada Esok Bagimu

Salam Palestina.

Hamka menginspirasi,

"Pada waktu segala jalan hubungan di bumi ditutup orang, hubungan ke langit lapang terluang"

Adakalanya saya merenung, betapa terpilihnya manusia yang Allah kurniakan ketenangan di dalam hidup mereka. Mereka yang kaya, syukur. Bagi yang miskin, sabar. Namun, saya sentiasa mendoakan kepada diri agar mendapat teman yang hidupnya biasa susah, kerana sabar itu ujiannya lebih mudah dihadapi berbanding syukur tatkala di dalam kesenangan. Juga saya percaya, daripada mereka inilah saya lebih memaknakan apa itu namanya kehidupan. 

Saya ada terbaca, tenangnya para sahabat ketika dahulu ialah kerna mereka itu pendek angan-angan. Ahli psikologi juga membenarkan prinsip hidup sebegitu. Hidup dalam lingkungan hari ini. Tidak perlu bimbangkan yang jauh, juga jangan tercemar dengan hari esok yang masih samar-samar. Saya perlu pegang ini, hayasanya tugas manusia bukan melihat apa yang terletak jauh dan masih kabur di hadapan, tetapi bertindak dengan apa yang ada dalam genggaman. 


Benar, para sahabat benar-benar membuktikannya, untuk hidup di dalam lingkungan hari ini. Mafhum hadis juga ada menyebut jika mereka hidup pada waktu pagi, mereka tidak akan menyangka untuk terus hidup hingga ke petang. Jadi mereka langsung tidak menangguhkan amalan kebaikan, sekaligus tidak menangguhkan taubat jika berbuat kejahatan. 

Masa lalu, adalah kelmarin yang telah mati. Masa depan, adalah esok yang belum terlahir. Namun kerap kita terlupa, masih sempat untuk selamatkan hari ini. Hari ini masih hidup dan ada untuk kita. Belajarlah melupakan hari kelmarin, usah khuatirkan hari esok, dan berfikirlah serta bekerjalah untuk hari ini. Tidak ada hari esok, tidak ada kata tangguh, itulah yang menginspirasi sahabat-sahabat nabi seketka dulu.

Dan terakhir, sekalipun kita tidak mendapat semua yang kita inginkan, tetapi cubalah bersyukur. Nabi yang mulia itu mengingatkan, barangsiapa yang tidak bersyukur dengan sedikit pasti tidak bersyukur dengan yang banyak. Jadi bersyukurlah untuk satu hari ini yang diberikanNya sekarang, doa-doa hari yang lebih baik Allah berikan pada masa mendatang.

Ayuh, lihatlah betapa indahnya hari ini..     :)

Wallahua'alam..

10.2.12

Dia Melindungimu Lebih Dari Apa Yang Kau Perlu

Salam Palestina..

Sepermulaan kita di alam dunia ini, dendangan memuji dan memperingati nabi menjadi erti. Erti dan makna bagi yang memandang bahawa perutusan nabi suatu tika dahulu mencahayakan hati-hati yang gelap derita, membuka pekung jahil dari memerangkap setiap generasi yang lahir dan menjanjikan berita gembira buat semua makhluk yang ditafsirkan ulama adalah 'ma siwallah' atau 'semua melainkan Allah'.Segala-galanya merasa.

"Kelahiran nabi saw merupakan revolusi pertama dan agung dalam sejarah, baginda tampil melaungkan seruan kebebasan berkeyakinan, berpendapat, memilih dan sebagainya. Islam agama yang menentang perkauman, menolak diskriminasi antara Muslim dan non-Muslim, selain menegakkan keadilan gender. Agama yang mendengungkan idea kebebasan ini telah ditolak oleh pembesar-pembesar Quraysh satu masa dahulu, dan akan terus ditentang "substance"nya oleh sesiapa sahaja yang berkepentingan dan mahu menjaga kedudukan dan status quo. Seruan Islam ialah seruan universal, adil dan sama rata."

(Khutbah Jumaat oleh Shaykh Rachid al-Ghannouchi )
(3 Feb 2012)

Kelu. Tidak tertanggung rasanya malu mahu menghadap nabi. Saya pernah terbaca, satu buku mengisahkan nabi berkata,

"Antara diriku dan kalian, ibarat seorang yang menyalakan api, kemudiannya dikerumuni anai-anai, kupu-kupu dan belalang, orang-orang saling menghalau, tetapi aku, membendung, menggenggam dalam tanganku agar tidak terjilat oleh lidah api, namun kalian melepaskan diri dari tanganku." 

SubhanaAllah.


Ya Allah, moga-moga kecintaan kami kepada Rasulullah sehinggakan ada pada benda yang tidak bernyawa.

Allahumma solli ala Muhammad wa'ala alihi wasohbihi wabarakallahu wasallam.

Wallahua'alam..

3.8.11

Langit Ramadhan Sentiasa Cerah.

Salam Palestina.

Ramadhan datang, lalu kemudiannya pergi. Berlalu pergi tanpa isyarat awas dan amaran. Sungguh, tersangat rugi bagi yang membiarkannya sama seperti 11 bulan selainnya. Bagi yang merasa mahu menghargainya,ketahuilah sesungguhnya langit Ramadhan sentiasa cerah.

Langit Ramadhan yang kian pergi nanti~
Ramadhan yang Sama, Natijah yang Berbeza

Klausa yang penuh dengan makna, lalu tidak ketinggalan menjadi sisipan pada setiap peringatan Ramadhan. Adakalanya saya risau ramai yang beriman dengan falsafahnya,tetapi tetap alpa pada pelaksanaan maknanya. Itulah, kita selalu berlegar pada penggunaan bahasa,sedangkan perhitungan Allah pada setiap amal perbuatan kita. Namun,kita masih sempat bermuhasabah,kerna langit Ramadhan sentiasa cerah.

Hidup ini adalah Untuk Bersyukur

Pelaksanaan syukur seolah menjadi amalan bertempat. Lalu ruangnya termaktub hanya apabila sampai pada waktu mengucapkan lafaz hamdalah, misalnya pada awal memulakan ceramah dan lafaz di dalam solat. Aduh,lupakah kita sifir syukur itu mudah, 

*Bersyukur dengan nikmat = Allah tambah nikmat.
*Tidak  bersyukur/ kufur dengan nikmat = Azab Allah amatlah pedih.

Sesungguhnya Ramadhan adalah seolah-olah makhluk yang mendampingi kita, menyediakan ruang kepada kita untuk lebih bersyukur. Malah dengan menggunakan sepenuh daya, anggota tubuh badan,apa-apa sahaja yang realitinya dari Allah dengan membawa sepenuh kesungguhan pengabdian semata-mata kepada Allah, sebenarnya adalah cara kita mensyukuri nikmat Allah. Bersyukurlah tanpa mengira tempat,lebih-lebih lagi  Ramadhan itu masih ada untuk kita.

Sungguh, langit Ramadhan sentiasa cerah,

Bandar Baru Bangi,
3 Ramadhan 1432H.

Menanti untuk pulang.

Wallahua'alam..

17.10.10

Bajet 2011-Bukan tidak bersyukur

salam palestina..

Memahami dan mendalami akan komponen yg terkandung dlm bajet 2011 bukannya sekadar mengetahui akan halatuju negara, bahkan dalam skop glokal kita harus mlihat bahawa ia melibatkan masa hadapan kita, ahli keluarga kita, bahkan dalam skala yg lebih besar, melibatkan generasi anak bangsa kita.

Forum isu "wajarkah guru berpolitik", yang  dianjurkan Jumaat lepas membuka mata audiens, bahawa berpolitik tidak semestinya  menjurus kepada semangat politik kepartian, sehinggakan merasakan tindakan sesuatu parti itu betul dalam semua perkara. Berpolitik dalam rangka sebenar ialah bagaimana kita membuat penilaian dan pengukuran atas rasional dan hujah, pada mana-mana dasar dan tindakan yang ada pada parti politik tersebut. Kalaupun sokongan itu adalah kerana isu terhutang budi pada sejarah lampau, maka saya merasakan itu adalah bukti kita sudah gagal dalam melahirkan generasi anak bangsa yang futuristik dalam memikirkan lakaran masa hadapan Malaysia kelak.




Berikut antara isi-isi Bajet 2011 :

    * Satu lagi pencakar langit di KL iaitu bangunan PNB 100  tingkat bernilai RM 5 Billion   dijangka siap  2015
    * KWSP boleh melabur 20% di luar negara
    * Ekonomi negara dijangka meningkat kepada 7 peratus
    * 3 lesen syarikat broker saham baru
    * Kerajaan akan menubuhkan Dana Pencen Swasta (PPF) tahun depan untuk   memberi manfaat  kepada   pekerja sektor swasta   dan mereka yang bekerja sendiri
    * Elaun pengerusi JKKK, imam naik hampir 100 peratus
    * Adunan mandatori biobahan api mulai Jun 2011
    * RM100 juta tingkat taraf hidup Orang Asli, Pribumi
    * Skim bantu golongan muda miliki rumah
    * Pinjaman rumah 100 peratus untuk golongan muda
    * Tol empat lebuh raya PLUS tidak naik untuk 5 tahun
    * Cukai jualan telefon mudah alih dimansuh
    * RM365 juta untuk penyelidikan, penganjuran sukan
    * Bantuan khas RM500 untuk k'tangan awam
    * Sistem penilaian kakitangan awam PTK
    * RM 111 Juta untuk sekolah PERMATA
    * RM 500 Juta untuk pembangunan 1Malaysia
 
Saya bukan seorang penganalisis yang baik dalam memberi komentari berkenaan hal ini. Cuma pada hemat saya seharusnya bajet ini juga ditumpukan pada aspek pendidikan negara,dalam konteks strategi mencegah dan merawat membabitkan nasib anak bangsa yang kian derita dalam masalah sosial. Juga masalah guru-guru yang tidak di"posting" kerana masalah penggajian. Tempat jatuh teori pendidikan iaitu sistem aplikasi yang dikurangkan bajet sebelum ini juga harus diberi cakna. Sebagai masalan, banyak pertandingan membina softskill di peringkat sekolah tidak mampu dijalankan atas rasional tiada bajet yang diperuntukkan.

Kerajaan harus merangka bajet dengan mementingkan aspek TERAS seperti pendidikan, kebajikan, keselamatan, perundangan tanpa melebihkan aspek sampingan yang adakalanya memberi keuntungan kepada golongan tertentu sedangkan awlahiyatnya pada rakyat yang masih lagi terkontang-kanting membaiki kehidupan. Statistik jenayah yang berkadaran terus dengan peredaran masa seharusnya diambil solusi penyelesaian yang efektif dengannya. Malahan, kerajaan tidak akan lari dari tanggungjawabnya membaikpulih infrastruktur,menambah fasiliti dan juga memenuhi hak asasi rakyat. Itu seharusnya tidak dijadikan modal sebagai perkara baharu yang dilaksanakan mereka sebagai pemerintah.

Saya menyeru anak muda punya kaleidoskop politik yang tersendiri, atas nilaian fakta dan hujah untuk mempunyai pendirian. Atas kecintaan kepada negara kita inilah, kita wajar menjadi mahasiswa yang menjiwai peranan kita sebagai 'check & balance' kepada masyarakat. Hasrat Prof Diraja Ungku Aziz melihat kelahiran mahasiswa yang tidak hanya sibuk di bilik kuliah semata-mata  harus kita sama-sama renungi.

Wallahua'alam..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...